Ikuti Kami:

Lebih 2,000 Peminat Temani Bernadya Tamatkan Era “Sialnya”

Lebih 2,000 Peminat Temani Bernadya Tamatkan Era “Sialnya”

Lebih 2,000 peminat setia hadir membanjiri Zepp Kuala Lumpur malam tadi untuk bersama-sama Bernadya menamatkan fasa penting dalam karier muziknya menerusi konsert “Untungnya, Untungnya Malaysia Tour 2025.”

Konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi detik simbolik buat penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia itu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada era album pertamanya, Sialnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.

Berkongsi momen istimewa itu dengan peminat, Bernadya tampil jujur mengakui betapa besar makna era tersebut buat dirinya.

“Terima kasih kerana meluangkan masa anda semua, ia benar-benar sangat bermakna buat saya dan seluruh pasukan yang terlibat. Saya harap malam ini kita semua dapat berseronok dan menikmati momen ini bersama,”

“Konsert ‘Untungnya, Untungnya’ ini adalah penutup sebuah era, iaitu era album Sialnya, Hidup Harus Tetap Berjalan. Lagu Untungnya sangat istimewa kerana membawa saya sampai ke Kuala Lumpur. Terima kasih kepada semua yang sudah memberi masa untuk mendengar dan menghargai karya saya selama ini.” katanya,

Tambah Bernadya, dia mahu membuktikan dirinya mempunyai keberanian untuk terus maju ke hadapan tanpa terus ‘terperangkap’ dengan imej lama.

“Mungkin selepas ini saya akan cuba sesuatu yang baharu, kita tak tahu lagi bagaimana. Tetapi malam ini saya mahu kita raikan sama-sama. Ini bukan sekadar konsert tapi satu perayaan menutup sebuah era yang bukan sahaja membentuk diri saya tetapi mungkin juga membentuk anda semua yang mendengar lagu-lagu saya.” tambahnya.

Pada malam yang penuh emosi itu, Bernadya membuka persembahan dengan Lama-Lama sebelum meneruskan dengan rangkaian lagu-lagu kegemaran peminat termasuk Kita Kubur, Kata Mereka, Berlari, Ambang Pintu, Kini Mereka, Terlintas, Masa Sepi dan Sinyal.

Lebih istimewa, peminat yang hadir turut memeriahkan suasana dengan sing-along tanpa henti sepanjang persembahan, menyanyikan setiap bait lagu bersama Bernadya, menjadikan konsert ini bukan sekadar tontonan tetapi satu pengalaman yang dekat di hati.

Persembahan diteruskan dengan lagu Satu Bulan sebelum Bernadya mempersembahkan dua lagu akustik Sialnya dan Apa Mungkin, menutup malam penuh kenangan dengan lagu Untungnya yang mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.

Malam turut diserikan dengan kehadiran penyanyi Adrian Khalif yang memanaskan pentas dengan lapan buah lagu daripada repertoirinya sebelum kembali bergabung dengan Bernadya menerusi lagu Asumsi.

Konsert ini bukan sekadar penutup era album pertamanya, tetapi juga simbol sokongan kuat peminat Malaysia menjelang konsert kedua di KDAC Hall, Kota Kinabalu pada 19 Julai 2025.

Foto Oleh: Dean Hilman.

Komen
Loading...