Lebih 20 Lagu Malar Segar Ubati Kerinduan Peminat Tegar Fauziah Latiff
- oleh MDaily Editor
- 10 May 2026 11:30 am
Selepas sekian lama tidak muncul di persada industri seni tanah air, Fauziah Latiff membuktikan auranya belum pudar apabila berjaya mengubati kerinduan peminat menerusi konsert “4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert”, malam tadi.
Berlangsung dalam suasana penuh nostalgia di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), penyanyi yang mesra disapa Jee itu tampil mempesonakan dengan rangkaian lebih 20 buah lagu malar segar yang pernah menjulang namanya sebagai antara primadona pop negara.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu bertukar hiba apabila Fauziah, 56, gagal menahan sebak ketika ingin menyampaikan lagu terakhir, Teratai Layu Di Tasik Madu.
Beliau dilihat beberapa kali mengesat air mata, terharu dengan sokongan padu 3,000 peminat yang hadir, berdiri memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
”Terima kasih banyak-banyak. Minta maaf, terkurang, ada kelemahan, ada kekurangan. But it’s a start for me tonight, it’s a good start, Because of you guys, kerana anda semua.,” katanya kepada penonton.

Terdahulu, konsert dimulakan dengan lagu ikonik Setiaku Korbankan, sebelum Fauziah membawa penonton menyusuri garis masa perjalanan seninya menerusi seleksi lagu hits seperti Enggan, Tua Mengejar Kita, Aku Sebutir Pasir, dan Dia.
Konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah yang menyanyikan lagu Kehebatan Cinta bersama Fauziah, selain persembahan solo menerusi lagu Penghujung Rindu dan Gadis Melayu.
Selain peminat tegar, konsert anjuran Ideatelier itu turut dihadiri rakan-rakan seperjuangan dalam industri seni termasuk Ziana Zain dan Rozita Che Wan.
