Lebih 100 Sukarelawan Jayakan Program CSR TSS di Sekolah Pendidikan Khas
- oleh Mohd Indera
- 16 Jun 2025 1:05 pm

Lebih 100 sukarelawan daripada Trade Shared Services (TSS) Malaysia dan Singapura (MY & SG) tampil menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Jalan Peel (SRPK Jalan Peel), Cheras, dalam usaha memperindah dan menceriakan persekitaran sekolah.
Program gotong-royong itu, yang bertemakan “Bersama Kita Mampu Membawa Perubahan”, diadakan dengan kerjasama guru, ibu bapa dan murid sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan menyeronokkan, khususnya untuk pelajar berkeperluan khas yang mengalami masalah pendengaran.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk mengecat semula dinding dan pagar sekolah, menghias bilik darjah, memasang bidai baharu, mengecat kerusi menunggu serta menghasilkan mural bertemakan Jalur Gemilang dan bunga raya di kawasan sekolah.
Wakil TSS MY & SG berkata, penyertaan besar-besaran sukarelawan membuktikan komitmen syarikat dalam menyokong pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
“Ini bukan sekadar tanggungjawab sosial. Ia mencerminkan keprihatinan kami terhadap pelajar dan persekitaran mereka. Kami mahu mereka datang ke sekolah dengan perasaan gembira dan bermotivasi,” katanya.
Sementara itu, pengetua SRPK Jalan Peel menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu dorongan besar buat pihak sekolah, terutama dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Kerjasama ini sangat bermakna kepada kami. Ia membawa perubahan positif yang boleh dirasai oleh murid dan guru,” ujarnya.
Program yang berakhir dengan sesi bergambar di Dataran Budi turut menyaksikan suasana ceria penuh semangat kekitaan dalam kalangan semua yang terlibat.
SRPK Jalan Peel merupakan sekolah rendah khas bagi murid berkeperluan khas pendengaran, yang menekankan nilai berdisiplin, berilmu, beramal dan berdikari dalam pembangunan sahsiah pelajarnya.
TSS MY & SG terus komited melaksanakan program CSR berimpak tinggi bagi menyokong masyarakat dan memupuk semangat kebersamaan ke arah perubahan yang positif dan berterusan.