Ikuti Kami:

Latihan Pestapora Malaysia 2025 Gegar Surf Beach Sunway Lagoon Julai Ini

Latihan Pestapora Malaysia 2025 Gegar Surf Beach Sunway Lagoon Julai Ini

Peminat muzik tempatan bakal disajikan dengan pengalaman festival yang luar biasa apabila Latihan Pestapora Malaysia 2025 mengambil alih Surf Beach, Sunway Lagoon pada 26 Julai 2025.

Festival ini merupakan hasil kerjasama julung kali antara Hitman Solutions, syarikat hiburan terkemuka Malaysia, dan Boss Creator, penganjur di sebalik festival indie popular Indonesia, Pestapora.

Membawakan gabungan barisan artis terkenal dan pendatang baru dari Indonesia serta barisan artis tempatan yang digemari ramai, festival ini menjanjikan kepelbagaian muzik merangkumi genre pop, rock, alternatif, hip-hop dan indie—semuanya dalam satu pentas.

Lebih menarik, Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar acara pemanas badan. Ia merupakan satu peluang eksklusif buat peminat untuk merasai aura dan tenaga festival ikonik ini tanpa perlu menyeberang ke Jakarta, sekaligus memberikan bayangan kepada edisi penuh Pestapora yang bakal berlangsung di Indonesia pada September 2025 nanti.

Kehadiran Latihan Pestapora di Malaysia juga menandakan pengembangan antarabangsa pertama Pestapora, dan secara tidak langsung mengukuhkan hubungan kreatif serantau antara Malaysia dan Indonesia.

Kolaborasi ini membuka ruang baharu bagi pertukaran seni rentas sempadan, merapatkan jurang budaya melalui muzik, dan menyatukan komuniti peminat dari dua negara serumpun.

Dalam menyemarakkan lagi keterujaan, sebanyak 10 tiket percuma disediakan untuk peminat muzik tempatan yang berjaya meneka barisan artis yang akan membuat persembahan di bawah hantaran pengumuman rasmi festival ini.

Ia merupakan peluang keemasan untuk menyaksikan aksi kegemaran mereka secara langsung sambil mengenali lebih dekat dunia muzik indie dan rock dari Indonesia.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket lebih awal, pendaftaran Pre-sale dibuka pada 14 April 2025 (Isnin), jam 6 petang dan akan ditutup pada 15 April 2025 (Selasa), jam 11.59 malam.

Tiket Pre-sale mula dijual pada 16 April 2025 (Rabu), jam 6 petang manakala Jualan Umum akan dilancarkan pada 17 April 2025 (Khamis), jam 12 tengah hari.

Kategori tiket yang ditawarkan adalah General Admission bermula dari RM129 dan Rockzone bermula dari RM199. Tambahan RM100 akan dikenakan bagi peminat yang ingin menikmati kemudahan Express Lane.

Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi: www.latihanpestaporamalaysia.com

Nantikan pengumuman barisan artis penuh tidak lama lagi dan pastikan anda menjadi sebahagian daripada festival muzik paling dinanti tahun ini.

Komen
Loading...