Latihan Pestapora 2026: 12 Jam Muzik Tanpa Henti, ‘Blind Sale’ Bermula Hari Ini
- oleh MDaily Editor
- 30 Apr 2026 8:03 pm
Demam festival muzik rentas sempadan kembali melanda ibu kota apabila acara yang dinanti-nantikan, Latihan Pestapora Malaysia 2026, disahkan bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional pada 15 Ogos depan.
Penganjuran edisi kedua ini menyaksikan kolaborasi ampuh antara Hitman Solutions dan Boss Creator yang menjanjikan pengalaman festival lebih dinamik dan imersif, selepas kejayaan luar biasa pada edisi sulungnya tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions menyifatkan edisi kali ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam meraikan keunggulan karya muzik Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas yang sama.
Bagi edisi 2026, penganjur menjanjikan pengisian luar biasa selama 12 jam tanpa henti yang bakal menampilkan kurasi lebih 15 artis ternama.
Walaupun senarai penuh barisan artis masih dirahsiakan, festival ini dijangka akan mengekalkan prestijnya dalam menyatukan nama-nama besar dari kedua-dua negara.
Selain sajian muzik, kemudahan pengunjung turut dipertingkatkan dengan penyediaan ruang makanan yang lebih luas melibatkan lebih 50 vendor makanan dan gaya hidup bagi memastikan keselesaan sepanjang hari.

Tahun lalu, Latihan Pestapora mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menarik kehadiran 25,000 pengunjung, termasuk 10,000 pelancong antarabangsa.
Persembahan daripada nama-nama besar seperti Bunkface, Pamungkas, Nadin Amizah, serta kemunculan istimewa Sheila On 7 telah meletakkan tanda aras yang tinggi buat festival ini.
Kejayaan tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan budaya dua hala, malah merancakkan semula ekosistem muzik serumpun antara Malaysia dan Indonesia.
Para peminat yang ingin mendapatkan tiket pada harga istimewa boleh merebut peluang melalui jualan ‘Blind Sale’ yang bermula secara rasmi hari ini, 30 April 2026, jam 2.00 petang.
Tiket bagi kategori General Admission (Free Standing) ditawarkan pada harga RM129.00 (tidak termasuk caj pemprosesan).
Peminat boleh melayari laman web rasmi di www.latihanpestaporamalaysia.com atau mengikuti akaun Instagram @latihanpestapora.my untuk sebarang maklumat lanjut dan pengumuman barisan artis dalam masa terdekat.
