Larian ‘Heal The World’ Satukan Lebih 1,000 Warga IDRISSI Sempena Ulang Tahun Ke-10
- oleh MDaily Editor
- 20 Dec 2025 3:04 pm
Lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelajar, ibu bapa, dan guru-guru menyertai acara larian santai Heal The World Fun Run bagi meraikan ulang tahun ke-10 IDRISSI International School di kampus Bukit Jelutong, hari ini.
Acara yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform simbolik bagi mengukuhkan mesej kelestarian alam sekitar dan nilai Islam yang menjadi teras utama sekolah berkenaan sejak penubuhannya pada Januari 2015.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Pendidikan GAINS Sdn Bhd, Zaliza Alias, berkata sambutan sedekad ini adalah refleksi perjalanan IDRISSI sebagai sekolah antarabangsa eco-Islamic pertama di Malaysia yang kini terus berkembang pesat.

”IDRISSI bermula di Setia Alam pada 2015, kemudian berkembang ke Johor Bahru pada 2020, dan kini pada 2025 kita melangkah setapak lagi dengan pembukaan kampus di Bukit Jelutong.
”Larian hari ini membawa tema ‘Heal The World’ di mana kita mahu mendidik anak-anak bahawa tugas sebagai khalifah bukan sahaja untuk menuntut ilmu, tetapi juga memikul amanah menjaga bumi yang kita diami ini,” katanya ketika ditemui media selepas acara berkenaan.
Apa yang menarik, sepanjang laluan larian di sekitar Bukit Jelutong, para peserta perlu melalui enam stesen atau checkpoint yang direka khas untuk memberikan pengalaman experiential learning.
Setiap stesen membawa tema pemuliharaan alam yang berbeza iaitu Save the Animals (Haiwan terancam), Save the Coral Reef (Terumbu karang), Save the Ice (Kutub utara), Save the Forest (Hutan simpan), Save the River (Pemuliharaan sungai), Save the Mountain (Pencemaran di pergunungan).
Di setiap perhentian, pelajar bukan sahaja melakukan aktiviti fizikal, malah diberikan pendedahan mengenai isu pencemaran serta kaitannya dengan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar.

”Sebagai contoh di stesen sungai, pelajar didedahkan dengan perbezaan sungai yang kotor dan bersih bagi menyedarkan mereka tentang kepentingan kitar semula.
Kami mahu mereka belajar melalui deria dan pengalaman, bukan sekadar teori dalam buku teks,” tambah beliau.
Mengulas mengenai perancangan 10 tahun akan datang, Zaliza menegaskan IDRISSI kini memberikan tumpuan serius terhadap pendidikan inklusif melalui sokongan kepada pelajar yang mempunyai keperluan pembelajaran tambahan (additional learning needs).
”Kami tidak mahu mengasingkan pelajar-pelajar ini. Di IDRISSI, kami mengamalkan konsep inklusif di mana semua kanak-kanak belajar dan bermain bersama. Ini penting bagi membina masyarakat yang mempunyai empati tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Sepanjang sedekad beroperasi, IDRISSI International School telah berjaya mengekalkan penarafan lima bintang daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kualiti kurikulum Cambridge yang disuntik dengan nilai-nilai murni.
Hingga kini, IDRISSI dianggarkan telah melahirkan hampir 2,000 graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik (IGCSE), malah aktif dalam kepimpinan dan aktiviti kemasyarakatan di peringkat universiti, sekali gus membuktikan keberkesanan model pendidikan holistik yang diamalkan.




