Ikuti Kami:

Lapan Jalan Utama di Kuala Krai Ditutup Akibat Banjir, Hujan Lebat Berterusan

Lapan Jalan Utama di Kuala Krai Ditutup Akibat Banjir, Hujan Lebat Berterusan

Lapan jalan utama di jajahan Kuala Krai ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan akibat ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, berkata antara jalan terjejas ialah Jalan Bukit Sireh/Kampung Bedal/Kuala Nal, Kilometer (KM) 2.5 hingga KM 2.7 berhampiran Pejabat RISDA, serta Jalan Guchil/Batu Balai/Simpang Tiga Sungai Pahi.

“Jalan lain yang turut ditutup adalah Jalan Sungai Durian/Chenulang berhampiran Kampung Sepuloh dan Kampung Batu Arang, jalan-jalan di Perkampungan Guchil berhampiran PKD Kuala Krai, serta jalan masuk ke Kampung Baru Pahi,” katanya.

Selain itu, laluan utama di Jalan Kota Bharu-Gua Musang Seksyen 328.2 berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian serta Seksyen 327.3 berhampiran jalan lama Tok Bok juga tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan.

Memetik Berita Harian, Mazlan turut memaklumkan lima lagi jalan ditutup khusus untuk kenderaan ringan. Antaranya laluan dari Simpang Tiga Sungai Pahi ke Kampung melalui Simpang Tiga Chuchoh Puteri dan dari KM29.6 Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang ke kawasan Lata Rek.

“Jalan Sungai Durian/Chenulang di Kampung Batu Arang, laluan lampu isyarat Guchil ke Bandar Kuala Krai, serta Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kuarters Polis Sungai Durian juga ditutup kepada kenderaan ringan,” tambah beliau.

Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa dan menggunakan laluan alternatif demi keselamatan. Banjir yang melanda kawasan ini dijangka berterusan jika hujan lebat masih berlaku.

Komen
Loading...