Ikuti Kami:

Langkasuka Lancar “Baju Yang Baru”, Simbolik Pembaharuan Jiwa

Langkasuka Lancar “Baju Yang Baru”, Simbolik Pembaharuan Jiwa

Kumpulan Langkasuka bakal tampil dengan karya terbaharu berjudul Baju yang Baru, hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Zuhaili yang mengetengahkan simbolik pembaharuan jiwa melalui penceritaan mendalam dan melodi yang penuh emosi.

Single ini mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan dengan proses rakaman dijalankan di home studio, manakala kerja-kerja mixing disempurnakan oleh Fai dan Aliy bertanggungjawab terhadap proses mastering.

Menurut Langkasuka, Baju yang Baru membawa mesej mendalam tentang kasih sayang, kesabaran dan pembaharuan jiwa, menggambarkan perjalanan emosi manusia dalam menghadapi liku kehidupan.

“‘Baju yang Baru’ mungkin cerita tentang kita, tentang kasih dalam diam, tentang hati yang bingung di tengah perjalanan. Dengarlah lagu ini… mungkin di antara baitnya, anda akan menemui sedikit diri sendiri, atau sekurangnya, akan lebih berhati-hati pada hati-hati yang lain,” ujar Langkasuka.

Kumpulan itu turut menjelaskan bahawa lagu ini menjadi simbolik kepada penghargaan terhadap nilai kekeluargaan dan kasih sesama insan, yang sering kali terlupakan dalam kesibukan hidup.

“Lagu ini adalah pelukan kecil kepada setiap suami yang lupa, setiap isteri yang sabar, dan setiap anak yang sedang belajar memahami kasih orang tuanya. Kadangkala, yang perlu diperbaharui bukan bajunya, tetapi hatinya,” tambah mereka.

Pelancaran Baju yang Baru turut mendapat kerjasama promosi dan edaran digital daripada Empayar Masdo Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang aktif dalam pembangunan bakat tempatan serta strategi pemasaran muzik digital.

Single Baju yang Baru akan mula boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music mulai 17 Oktober 2025.

Komen
Loading...