Ikuti Kami:

Langkah Besar Wani Kayrie Dengan “W2K”

Langkah Besar Wani Kayrie Dengan “W2K”

Penyanyi berbakat besar, Wani Kayrie, melakar satu lagi pencapaian bermakna dalam karier seninya apabila melancarkan EP sulung berjudul W2K serta single terbaharu Biarkan dalam sebuah sidang media eksklusif bertemakan “Wani Kayrie Listening Party”.

Acara ini berlangsung di MyTOWNKL dengan kerjasama ASR Festival oleh Ascott dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment

Bagi Wani, W2K bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi manifestasi perjalanan seni, suara hati dan identiti baharunya sebagai penyanyi wanita yang kini tampil lebih matang dan berani.

“Akhirnya setelah sekian lama, saya dapat hadiahkan album mini ini kepada semua yang setia menanti. Ini antara momen paling bermakna buat saya,” katanya.

EP ini memuatkan lima buah lagu baharu iaitu Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan, hasil kolaborasi dengan barisan komposer tempatan seperti Iqie Hugh, Hanis Rafi, Omar K, Shazriq Azeman, MFMF, Ezra Kong dan ramai lagi.

Menurut Wani, proses pembikinan EP ini bukan mudah, malah memakan masa lebih setahun bermula sejak Julai 2024.

“Dari bulan 7 tahun lepas kami dah mula rakam lagu Cak Cak Cekuk. Dari awal memang kami dah plan nak hasilkan album, sebab saya sendiri dah lama menyanyi dan dah banyak keluar single. Tapi saya rasa inilah masanya saya tampil dengan satu produk yang benar-benar mewakili diri saya,” jelasnya.

Wani turut menjelaskan bahawa keputusannya untuk tampil dengan EP dalam era yang kebanyakan artis memilih menerbitkan lagu secara berasingan merupakan satu komitmen terhadap impian jangka panjangnya.

“Kalau nak ke arah showcase sendiri, nak bina konsert sendiri, mesti ada produk. Dan W2K ini adalah produk itu. Album ini mewakili siapa Wani Kayrie hari ini, bukan sekadar suara, tetapi jiwa dan karakter saya sebagai seorang penyanyi wanita muda.” ujarnya.

Antara lima lagu tersebut, Cak Cak Cekuk merupakan kegemaran Wani kerana unsur budaya dan semangat positif yang dibawakan. Namun Biarkan, satu-satunya lagu balada dalam EP itu, menyentuh sisi emosi yang lebih dalam.

“Biarkan ni tentang melepaskan sesuatu yang dah tak baik untuk kita, walaupun kita masih sayang. Kadang-kadang, biarkan saja… itu yang terbaik untuk kita sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang harapan untuk membawa mana-mana lagu dalam W2K ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Wani bersikap terbuka namun enggan terlalu berharap.

“Sejujurnya saya tak pernah letakkan apa-apa expectation untuk lagu ke AJL, sebab bila kita terlalu harap, kalau tak jadi kita kecewa. Jadi saya lebih utamakan penerimaan orang dulu. Bila orang suka, lagu akan viral, dan kalau ada rezeki, insya-Allah akan sampai ke AJL juga,” jelasnya.

Wani turut berkongsi bahawa salah satu lagunya sebelum ini pernah mara ke peringkat separuh akhir AJL, namun tidak berjaya ke pentas akhir. Sejak itu, dia memilih untuk tidak terlalu meletakkan tekanan pada diri semata-mata untuk bersaing dalam pertandingan.

“Bukan bermaksud saya merajuk atau kecil hati. Kalau ada rezeki, saya terima dengan hati terbuka,” katanya lagi.

Menurutnya, beberapa lagu dalam EP W2K seperti Cak Cak Cekuk, Biarkan dan Matahari dilihat memiliki potensi besar untuk diketengahkan.

“Lagu Matahari tu walaupun belum didengar sepenuhnya oleh ramai orang, tapi muziknya sangat kuat. Saya nampak ia ada potensi besar,” ujarnya.

EP W2K dan single Biarkan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama.

Komen
Loading...