Ikuti Kami:

Laman Dayung Perkenal Hi-Tea Istimewa Bersama Dato’ Khadijah Ibrahim

Laman Dayung Perkenal Hi-Tea Istimewa Bersama Dato’ Khadijah Ibrahim

Menyajikan kelainan kepada pengunjung setianya, Dayung Garden & Arts Café @ Laman Dayung baru-baru ini memperkenalkan program istimewa Hi-Tea Buffet bersama Dato’ Khadijah Ibrahim bertemakan ‘Masakan Air Tangan Ibu’.

Acara yang berlangsung Ahad lalu itu mencuri tumpuan ramai apabila pengunjung dapat menikmati menu nostalgia kegemaran ramai seperti laksa Johor, mee siam, rendang ayam, asam pedas Johor, nasi lemak basmathi, tauhu telur, cekodok pisang, cekodok ikan bilis dan pelbagai juadah tradisi lain.

Dengan harga serendah RM50 seorang, majlis ini berjaya menarik sambutan hangat daripada rakan-rakan dan peminat penyanyi legenda tersebut.

Menurut Dato’ Khadijah Ibrahim, penganjuran hi-tea ini bukan sekadar menjamu selera, tetapi mengimbau memori lama bersama kawan-kawan yang merindui masakan klasik.

“Hari ini saya hidangkan menu yang sering menjadi kegemaran kawan-kawan seperti di Khadijah’s Kitchen dahulu. Mereka teruja kerana dapat menikmati masakan yang sedap, halal dan bersih. Suasananya pun sangat nyaman. Kalau arwah abang saya masih ada, pasti dia gembira kerana inilah impian beliau untuk rumah ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa konsep hi-tea ini akan dijadikan acara berkala pada masa akan datang kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

“Ramai yang bertanya bila sesi seterusnya. Insya-Allah kami akan buat lagi kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi memberi peluang untuk berkongsi menu tradisi yang semakin jarang ditemui,” jelasnya.

Pemilik Laman Dayung, Noorshah Mohd Salleh, balu kepada arwah Dr. Wan Zawawi Wan Ibrahim, menjelaskan bahawa nama Dayung dipilih bersempena karya arwah suaminya serta falsafah hidupnya yang mengajak manusia lebih menghargai alam dan menjalani kehidupan dengan penuh ketenangan.

“Arwah pernah hasilkan album puisi berjudul Gayung sekitar tahun 1996. Konsep ini menekankan kita jangan terlalu mengejar dunia. Hidup harus sederhana, banyakkan refleksi diri dan menghargai keindahan sekeliling. Sebab itu saya namakan Laman Dayung sebagai simbolik kepada pandangan hidupnya,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa tanah ini pada asalnya hutan dan dijadikan dusun durian dan rambutan yang dibeli sejak tahun 1990. Rumah utama siap dibina pada 2010, manakala homestay empat bilik berhawa dingin mula beroperasi pada 2017.

“Sekarang Laman Dayung bukan sekadar kafe, tetapi tempat orang berkumpul untuk acara perkahwinan, hari lahir, reunion dan malah menjadi lokasi penggambaran drama. Kami beri fleksibiliti kepada pelanggan kalau mahu sewa sahaja tempat pun boleh, masak sendiri pun boleh. Itu konsep kami, bebas dan santai,” jelas Noorshah.

Selain hi-tea, Dayung Garden & Arts Cafe menawarkan menu harian seperti Nasi Lemak Basmathi, Ayam Goreng, Rendang Daging, Chicken Chop, Fish & Chips, Lamb Chop dan pelbagai hidangan Barat serta snek ringan.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan :-

Dayung Garden & Arts Cafe @ Laman Dayung
Alamat: Lot 2111, Lorong Setia 4/1, Kuang/Sg Buloh.
Hubungi: +60138095640 (Kak Noor)
Buka setiap hari dari 10.30 pagi hingga 11.00 malam kecuali Rabu.

Komen
Loading...