Laku Keras! Tiket ‘Seating’ Konsert Raya Siti Nurhaliza Licin Dalam 15 Minit
- oleh MDaily Editor
- 18 Mar 2026 10:36 pm
Belum pun reda bahang sambutan Ramadan, penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan pengaruhnya apabila tiket kategori tempat duduk bagi konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya habis terjual dalam tempoh singkat, hari ini.
Tinjauan di laman jualan tiket Ticket2u mendapati kesemua kategori tempat duduk ‘licin’ dalam tempoh kurang 15 minit selepas jualan dibuka tepat jam 12 tengah hari tadi.
Setakat laporan ini ditulis, hanya kategori berdiri iaitu Anugerah Aidilfitri yang berharga RM299 sahaja yang masih berbaki untuk peminat setia beliau.
Mengulas mengenai sambutan luar biasa itu, Siti meluahkan rasa terharu dan menjelaskan bahawa konsep konsert kali ini adalah bagi memenuhi permintaan peminat di media sosial.
“Tahun ini saya tampil dengan lagu raya berjudul Beraya Dengan Saya. Pada awalnya, saya bercadang mengadakan rumah terbuka seperti kebiasaan setiap tahun bersama peminat.
“Namun, selepas membaca komen di media sosial, ramai yang meminta saya mengadakan persembahan khas lagu raya memandangkan saya mempunyai banyak koleksi lagu bertemakan Aidilfitri,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Tambah Siti, beliau memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi bagi memastikan suasana persembahan yang bakal berlangsung pada 10 April depan itu lebih intim dan dekat dengan penonton.
“Idea ini juga lahir daripada perbincangan bersama peminat. Kami terus merancang pelaksanaannya sekitar minggu kedua Ramadan. Kali ini saya menyediakan ruang berdiri, sesuatu yang jarang atau hampir tidak pernah dilakukan dalam konsert saya sebelum ini demi memberi peluang kepada lebih ramai peminat,” ujarnya.
Meskipun mempunyai tempoh persiapan yang agak singkat, penyanyi lagu Sesuci Lebaran itu tidak berasa tertekan memandangkan konsep persembahan adalah lebih santai dan tidak berskala besar.
Siti memaklumkan beliau sudah menyerahkan senarai lagu kepada pengarah muzik dan bakal memulakan sesi latihan pada awal April depan sebelum tirai konsert dibuka.
Tiket boleh didapati di laman web Ticket2u.




