Lakon Watak Seram, Anna Jobling Cabar Diri Keluar dari Zon Selesa
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pemenang anugerah Aktres TV Popular (ABPBH36) Anna Jobling, 24 yang sebelum ini sering dikenali dengan watak-watak lembut dan ayu, kini membuat kejutan dengan membawakan watak sebagai hantu dalam sebuah filem seram Lembayung.
Langkah ini diambil untuk membuktikan versatiliti lakonannya dan keluar dari stereotaip sebagai pelakon yang hanya memegang watak cantik.
“Ana nak tunjuk yang Ana bukan hanya sesuai dengan watak-watak manis dan baik. Dalam cerita ini, Ana mahu bawa watak yang betul-betul berbeza, yang tak semestinya cantik. Ana tak nak orang tengok Dr. Tantri ini sebagai hantu cantik, tapi sebagai karakter yang benar-benar menyeramkan,” jelas Anna.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling binti Abdul Rahman Jobling, mengakui bahawa watak Dr. Tantri memerlukan persediaan fizikal dan emosi yang mendalam.
“Proses untuk bawa watak ini sangat intensif. Ana perlu cari feel karakter, ekspresi, dan penampilan yang sesuai. Dengan kanta lekap khas yang buat Ana macam buta 90%, memang tak mudah, tapi itu semua buat pengalaman ini lebih bermakna.
“Sebagai pelakon, Ana tak nak terhad kepada satu jenis watak sahaja. Ana nak penonton tengok sisi lain Ana, yang mampu bawa watak berat dan penuh emosi seperti ini.” katanya kepada media di Malam Gala Lembayung di GSC Tropicana Gardens Mall pada Selasa.
Selain aspek teknikal, Anna juga memastikan setiap adegan tampak realistik dengan bantuan pasukan yang profesional.
“Ada babak di mana Ana perlu menahan nafas untuk nampak seperti betul-betul lemas. Masa itu, Ana fokus sepenuhnya untuk buat adegan itu kelihatan hidup. Lepas cut, kru cepat-cepat bantu Ana, dan semuanya berjalan lancar kerana pasukan yang sangat profesional.” ujurnya.
Meskipun tidak mengalami gangguan mistik di set, Anna mendedahkan pengalaman aneh yang berlaku di lokasi penginapan.
“Masa balik ke villa homestay, Ana kena ‘tindih’. PR Ana yang tidur sebelah pun kena. Masa itu Ana bangun, baca apa yang boleh baca, sampai keadaan tenang balik. Esoknya bila tanya, dia tak ingat apa-apa.
“Ana percaya semua ini pengalaman yang menjadikan Ana lebih kuat, bukan sahaja sebagai pelakon tetapi juga sebagai individu.” katanya lagi.
Lembayung diinspirasikan daripada kisah yang viral diaplikasi X mengenai kisah perjalanan dua pelajar kejururawatan, Pica dan Arum, yang menjalani praktikal (PKL) di Klinik Lembayung, sebuah klinik lama yang baru dibuka semula selepas bertahun-tahun ditutup.
Klinik ini dikaitkan dengan kisah tragis seorang doktor, Dr. Tantri, yang membunuh diri beberapa tahun lalu.
Segalanya menjadi menyeramkan apabila seorang pesakit misteri berambut panjang muncul di klinik tersebut pada suatu malam. Tingkah laku pelik wanita itu mencetuskan ketakutan kepada Pica dan Arum.
Namun, misteri itu semakin mendalam apabila wanita itu terus menghantui mereka, malah muncul dalam mimpi buruk Arum.
Kejadian ganjil terus menghantui hospital itu, termasuk kematian tragis beberapa pekerja.
Lembayung mula ditayangkan di pawagam bermula 5 Disember ini.
Foto Oleh : Prime Eagle Studios.