Ikuti Kami:

Lakaran Syawal: Melawati Mall Kolaborasi Bersama Tom Abang Saufi Raikan Keindahan Kraftangan

Lakaran Syawal: Melawati Mall Kolaborasi Bersama Tom Abang Saufi Raikan Keindahan Kraftangan

Melawati Mall kini bertukar wajah dengan sentuhan seni warisan apabila secara rasminya memperkenalkan kempen ‘Lakaran Syawal’ yang berlangsung bermula sekarang hingga 6 April depan.

Kempen edisi 2026 ini bukan sekadar aktiviti beli-belah perayaan biasa, malah ia menjadi platform mengangkat keanggunan seni tradisional Melayu yang ditafsir semula melalui fesyen kontemporari serta dekorasi yang mengasyikkan.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Meranti Court pada Selasa ini dirasmikan oleh pereka fesyen tersohor negara, Dato’ Indera Tom Abang Saufi, sekali gus menandakan kolaborasi eksklusif dalam meraikan kehalusan kraftangan tempatan.

Antara tarikan utama di Meranti Court ialah gerai khas yang menampilkan koleksi Tom Abang Saufi.

Dikenali dengan jahitan unik dan dedikasi terhadap kualiti tinggi, setiap rekaan beliau yang dipamerkan melambangkan kecanggihan abadi yang menggabungkan elemen tradisional dengan siluet elegan moden.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pilihan jenama popular seperti McVogue, Love Trisha, Anna Satrin, Awesome Snacks, Ababil, Orchid Classic, Al Haraman serta Eastman & Estella yang menawarkan busana Muslimah, samping dan juadah perayaan bagi melengkapkan persiapan Syawal seisi keluarga.

Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan yang sibuk dengan persiapan saat akhir, Melawati Mall mengambil inisiatif melanjutkan waktu operasi sehingga jam 12 tengah malam pada tarikh-tarikh terpilih.

Pengunjung juga berpeluang menikmati perkhidmatan ukiran kraftangan peribadi secara percuma pada hujung minggu terpilih (7-8 Mac dan 14-15 Mac) dengan perbelanjaan minimum RM50.

Lebih menarik, pembeli berpeluang menebus koleksi eksklusif seperti Sampul Duit Raya Seni Syawal, Tikar Corak Seri, dan Kotak Hadiah Ukiran Raya bergantung kepada jumlah perbelanjaan.

Menambah keterujaan musim perayaan, Melawati Mall dengan kerjasama Traveloka turut menawarkan peluang untuk memenangi percutian ke Korea Selatan bagi pembeli yang berbelanja RM100 dan ke atas dalam satu resit. Peraduan ini berlangsung sehingga 31 Mac 2026.

Untuk merancakkan lagi suasana, pihak pengurusan turut membawa masuk jenama baharu bagi memperkukuh penawaran gaya hidup seperti Body Glove, serta aktiviti seni kreatif di Lulu Sensory Deluloft, Monsters Art Studio dan Monsters Craft Studios bagi mencungkil kreativiti golongan muda.

Orang ramai dijemput hadir ke Melawati Mall untuk merasai sendiri keunikan pengalaman ‘Lakaran Syawal’ ini. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi kaunter informasi atau ikuti platform media sosial rasmi Melawati Mall.

Loading...