Lagu hit penyanyi popular Filipina, Zack Tabudlo, sekali lagi mencetuskan fenomena di Malaysia apabila karya romantisnya, Give Me Your Forever, kembali tular dan mendominasi platform media sosial sejak kebelakangan ini.
Kebangkitan semula lagu tersebut dikaitkan dengan detik tular majlis pertunangan pelakon, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memilih lagu berkenaan sebagai latar muzik utama bagi video momen bahagia mereka.
Menerusi perkongsian di media sosial, lagu yang dilancarkan pada penghujung 2021 itu dilihat sangat serasi dengan kisah cinta pasangan berkenaan, sekali gus mengundang emosi peminat yang menyifatkan melodi dan liriknya sebagai terjemahan tulus buat pasangan yang sedang hangat diperkatakan itu.

Menariknya, Zack Tabudlo sendiri turut menyedari gelombang tular tersebut dan sempat menitipkan ucapan tahniah kepada Bella dan Syed Saddiq menerusi ruangan komen di Instagram, yang seterusnya menambah keterujaan pengikut kedua-dua pihak.
Zack, yang merupakan antara tonggak utama industri Original Pilipino Music (OPM), bukanlah nama asing dalam pasaran muzik tempatan.
Sebelum ini, beliau pernah mencipta sejarah apabila lagu Binibini mendominasi carta Spotify Global Viral, selain hit Pano yang memecah rekod sebagai lagu paling lama menduduki tangga #1 di carta Top 50 Filipina selama 455 hari.
Selain digunakan secara meluas dalam video perkongsian peminat, lagu Give Me Your Forever turut menjadi bahan parodi kreatif oleh stesen radio tempatan seperti ERA Sarawak, yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi populariti lagu itu dalam kalangan pendengar pelbagai lapisan umur.
Hubungan seni antara Bella Astillah dan karya Zack sebenarnya sudah bermula sejak beberapa tahun lalu apabila Bella pernah membuat rakaman semula (cover) lagu Pano yang mendapat maklum balas positif.
Namun, pemilihan Give Me Your Forever kali ini dianggap lebih bermakna dan bersifat peribadi bagi pelakon wanita tersebut.
Sehingga kini, jumlah tontonan dan penstriman lagu tersebut terus menunjukkan trend peningkatan di semua platform digital, membuktikan pengaruh muzik OPM masih utuh di hati peminat muzik di Malaysia.




