Ikuti Kami:

Lagu Tema Telaga Suriram, “Sesal”, Tampilkan Kehebatan Vokal Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Lagu Tema Telaga Suriram, “Sesal”, Tampilkan Kehebatan Vokal Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Dato’ Sri Siti Nurhaliza terus memukau dunia seni dengan persembahan vokalnya dalam lagu tema filem Telaga Suriram yang berjudul “Sesal”.

Lagu balada ini menjadi bukti kehebatan beliau sebagai penyanyi tersohor tanah air, mampu membawa emosi mendalam yang menyentuh hati pendengar.

Lagu “Sesal” merupakan hasil ciptaan Nurzaidi Abd Rahman, dengan susunan muzik oleh Eddie Slam dan alunan seruling Mohar yang menambahkan keindahan emosi pada karya ini.

Lagu ini mengisahkan penderitaan seorang ibu yang mencari anak perempuannya yang hilang, selaras dengan tema filem arahan Osman Ali.

“Saya rakam lagu ini sekaligus, secara once through. Kita terus bawa emosi dari mula sampai habis supaya penyampaian lebih tulen,” kata Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Proses rakaman hanya mengambil masa 30 minit, memperlihatkan kepakaran beliau dalam menghidupkan melodi dan lirik lagu ini.

Pengalaman sebagai seorang ibu turut membantu beliau menghayati lagu ini dengan lebih mendalam.

“Saya hayati lagu ini kerana sebagai seorang ibu, saya sangat faham bagaimana perasaan sesak dan sedih itu. Alhamdulillah, Allah memudahkan segalanya,” tambah beliau.

Pengarah filem Osman Ali menyifatkan penyampaian Siti sebagai sangat luar biasa, menyampaikan emosi cerita ini dengan sempurna.

Rakaman dilakukan di Studio Kayangan di bawah arahan Shuhaimi Zulkefli, manakala video muziknya menampilkan pelakon En. Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan, yang membawa elemen dramatik filem ini ke layar kecil.

Telaga Suriram mengisahkan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang menggemparkan sebuah kampung terpencil. Filem ini menggali konflik emosi dan rahsia gelap yang terbongkar di sebalik tragedi tersebut.

Lagu “Sesal”, kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, melengkapkan pengalaman emosi yang dijanjikan oleh filem ini.

Komen
Loading...