Ikuti Kami:

Lagu Raya Terbaharu Soma, “Aku Tetap Raya”, Tampilkan Datuk Khadijah Ibrahim & Zahnita

Lagu Raya Terbaharu Soma, “Aku Tetap Raya”, Tampilkan Datuk Khadijah Ibrahim & Zahnita

Penyanyi berbakat, Soma atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar, kini hadir dengan lagu raya terbaharunya berjudul Aku Tetap Raya.

Lebih istimewa, video muzik (MV) rasmi lagu ini menampilkan penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, serta model terkenal, Zahnita.

Keunikan Aku Tetap Raya bukan sahaja terletak pada melodinya yang ceria, tetapi juga pada MV yang dijangka mencuri perhatian peminat.

Kehadiran Datuk Khadijah Ibrahim dalam MV ini merupakan penghormatan buat Soma, yang menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi dalam perjalanan seninya. Sementara itu, Zahnita, yang kini kembali aktif dalam industri seni, turut menyerikan MV ini dengan keanggunannya.

Dicipta oleh Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri, Aku Tetap Raya membawa mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal.

Dengan lirik yang menggambarkan kemeriahan Aidilfitri serta susunan muzik yang segar, Soma berharap lagu ini dapat menceriakan suasana perayaan tahun ini.

Bagi meraikan pelancaran lagu ini, Soma turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakan media di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Acara ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada media yang menyokongnya, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan Aku Tetap Raya secara rasmi kepada peminat dan industri muzik tempatan.

Soma baru-baru ini melancarkan album sulungnya, Perjalanan, yang memuatkan lima lagu termasuk beberapa karya komposer tersohor, Allahyarham S. Atan. Sambutan positif terhadap album ini semakin mengukuhkan nama Soma dalam arena muzik tanah air.

Lagu Aku Tetap Raya akan tersedia di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music bermula 14 Mac 2025. MV rasmi lagu ini juga bakal dilancarkan pada tarikh yang sama untuk tontonan peminat.

Dengan pelancaran ini, Soma berharap Aku Tetap Raya dapat menjadi antara lagu raya pilihan utama dan memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Komen
Loading...