Lagu Raya Rocketfuel Entertainment Paling Meletup! Raih 1.7 Bilion Tontonan!
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Lagu-lagu Raya terbitan Rocketfuel Entertainment bagi musim perayaan 2025 telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya meraih lebih 1.7 bilion tontonan dan strim secara kolektif di YouTube dan pelbagai platform digital.
Pencapaian ini meletakkan Rocketfuel sebagai antara penerbit muzik paling berpengaruh dalam menghasilkan karya-karya perayaan yang bukan sahaja popular, tetapi juga mencipta budaya tular.
Tiga lagu yang menjadi penyumbang utama kejayaan ini ialah “Meriah Lain Macam” oleh Hael Husaini dan Nadeera, “Nyam Nyam Ketupat” oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy, serta “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera.
Setiap lagu menampilkan keunikan tersendiri dan mendapat tempat di hati jutaan pendengar, bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke peringkat antarabangsa.
“Meriah Lain Macam” berjaya mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan mengungguli carta muzik utama seperti Carta RIM (Official Malaysia Chart), Billboard Malaysia, serta YouTube Music di Malaysia dan Brunei.
Lagu ini turut trending nombor satu di YouTube selama 33 hari berturut-turut. Menurut Hael Husaini, kejayaan tersebut amat menyentuh hati kerana pada asalnya lagu ini hanya bertujuan untuk menyampaikan kemeriahan dan semangat balik kampung sempena Raya.
Sementara itu, “Nyam Nyam Ketupat” pula tampil sebagai lagu Raya paling ceria dan mencipta tarian tular yang melanda media sosial.
Dengan hampir 8 juta tontonan di YouTube, lagu ini turut menarik perhatian dunia apabila juara Olimpik badminton dari Denmark, Victor Axelsen, menggunakan lagu tersebut dalam salah satu video latihannya di TikTok.
Wani Kayrie menyifatkan projek ini sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan pencapaian yang membanggakan untuk musim Raya tahun ini.
Lagu solo “Dam Dim Dum Raya” nyanyian Nadeera turut mendapat sambutan hangat dengan lebih 800,000 tontonan. Ia menjadi pencapaian manis buat Nadeera memandangkan ini merupakan lagu Raya solonya yang pertama.
Beliau meluahkan rasa syukur kerana lagu tersebut berjaya menambat hati ramai pendengar di tengah persaingan lagu-lagu Raya yang sengit setiap tahun.
Berbekalkan sambutan luar biasa ini, Rocketfuel Entertainment merancang untuk terus mempersembahkan kandungan muzik yang segar dan berkualiti.
Bagi menambah kegembiraan peminat, dua versi istimewa dari pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) — “Bukan Lagi Kita” nyanyian Nadeera dan “Diam” oleh Hael Husaini — akan tersedia di semua platform digital mulai 1 Mei 2025.