Lagu Menamakanmu Cinta Jadi Soundtrack Sinetron Cinta Sepenuh Jiwa
- oleh Mohd Indera
- 26 Sep 2025 2:28 pm

Lagu balada penuh emosi berjudul Menamakanmu Cinta ciptaan Ade Govinda dan dinyanyikan penyanyi tersohor, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kini dipilih sebagai runut bunyi rasmi untuk sinetron terbaharu MNC Pictures berjudul Cinta Sepenuh Jiwa yang bakal disiarkan secara eksklusif di RCTI.
Sejak pertama kali diluncurkan, lagu ini terus meledak di pelbagai platform digital. Video lirik rasmi yang tayang pada 18 Julai 2025 sudah meraih lebih 3.3 juta tontonan, manakala muzik video yang dimuat naik pada 12 September 2025 mencatat lebih 395,000 tontonan.
Lagu tersebut turut merekodkan lebih 4.9 juta mainan di YouTube Music serta 2.1 juta penstriman di Spotify.
“Selaras dengan judul sinetronnya, Menamakanmu Cinta menjadi bentuk ungkapan rasa cinta kepada insan tersayang. Sepenuh jiwa kita mencintai seseorang, namun tidak selalu mampu diungkapkan sepenuhnya. Itu yang membuat saya tidak sabar menantikan jalan cerita sinetron ini,” kata Ade Govinda.
Sinetron Cinta Sepenuh Jiwa menampilkan pelakon muda popular seperti Cut Syifa, Ibrahim Risyad dan Kenny Austin. Kisah cinta sarat emosi itu dijangka lebih mengena di hati penonton dengan iringan vokal merdu Siti Nurhaliza.
Dengan gabungan naskhah drama penuh makna dan lagu pengiring yang menyentuh perasaan, Cinta Sepenuh Jiwa diyakini bakal menjadi tontonan istimewa buat keluarga Indonesia.