“Lagu Kegemaran Kalian, Saya Akan Nyanyikan” – Amy Search Janji Akan Berikan Persembahan Terbaik
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

“Sudah tentu lagu kegemaran kalian tak perlu saya nak cakap, saya akan nyanyikan,” janji Datuk Amy Search penuh semangat menjelang Amy Search Magic Konsert Solo Pertama yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Ucapan itu bukan sekadar kata-kata manis — ia hadir bersama janji yang tulus daripada seorang legenda muzik tanah air yang sudah lebih empat dekad berdiri megah dalam industri.
Pada usia 66 tahun, Amy tetap komited memberikan yang terbaik buat peminat. Beliau kini dalam fasa akhir persiapan untuk konsert solo sulungnya yang dijangka berlangsung selama dua jam setengah, menampilkan antara 20 hingga 25 lagu hits yang telah mencorakkan generasi demi generasi.
“Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat. Setiap konsert yang saya jayakan, ada rasa puas dan itu mendorong saya terus melangkah,” katanya.
Amy juga menegaskan bahawa aspek stamina dan kesihatan kini menjadi fokus utamanya. Baginya, penyanyi juga ibarat pemain bola yang perlu sentiasa menjaga tenaga agar mampu menyampaikan persembahan yang bertenaga dan memukau dari awal hingga akhir.
Meskipun bergelar legenda, Amy tidak meletakkan dirinya jauh daripada peminat. Sebaliknya, beliau mahu menjadikan konsert ini sebagai medan berinteraksi dan menyambut Aidilfitri bersama-sama dalam suasana penuh makna.
Beliau turut memberi jaminan akan menyampaikan lagu-lagu yang paling dekat di hati peminat, sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang tidak pernah putus selama ini.
Konsert ini turut mendapat sentuhan pengarah berpengalaman, Jennifer Thompson, yang bertanggungjawab memastikan kelancaran produksi dan pengalaman terbaik buat semua penonton.
Dengan tema Rock It Like Amy, konsert ini dijangka menjadi satu malam yang sarat dengan semangat rock n’ roll, nostalgia dan persembahan yang tidak akan dilupakan.
Tiket konsert boleh didapati di platform www.wowtix.com.my
Harga tiket bermula daripada RM188 (Cat 6- Lagu Tiada lagi ), RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita), RM388 (Cat 4 – Kerja Gila), RM538 (Cat 3- Kalimah Cinta), RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan) dan RM788 (Cat 1- Rock Royalty).
Sambutan hangat dari peminat membuktikan bahawa Amy Search masih menjadi nama besar yang dirindui di pentas besar.
Dengan barisan lagu ikonik dan persembahan penuh jiwa, Amy Search Magic Konsert Solo Pertama bukan sekadar konsert — ia adalah penghargaan buat peminat yang setia bersama dari dulu hingga kini.