Lagu Cinta Penuh Emosi: ‘Berbagi Hati’ Gabungan Khai Bahar dan Wany Hasrita
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Lagu balada terbaru berjudul “Berbagi Hati”, hasil gandingan mantap dua bintang popular tanah air, Khai Bahar dan Wany Hasrita, hadir menyentuh emosi para pendengar.
Karya ciptaan komposer berbakat, Amylea, ini diterbitkan oleh Sony Music Malaysia dan dipilih sebagai runut bunyi asli (OST) untuk drama bersiri “Berbagi Suami”, yang bakal menemui penonton pada 2 Disember 2024.
Lagu ini mengangkat tema percintaan yang kompleks, menceritakan kisah pasangan kekasih atau suami isteri yang bergelut dengan kenangan silam mereka. Dalam usaha mencari kebahagiaan baru, mereka harus melepaskan bayangan cinta lama.
Gabungan vokal Khai dan Wany memberikan dimensi mendalam kepada mesej lagu ini, menjadikannya penuh emosi dan menyentuh jiwa.
“Lagu ini memerlukan penghayatan tinggi kerana temanya sangat dekat dengan realiti kehidupan. Saya dan Wany cuba membawa emosi sebenar ke dalam lagu ini, agar pendengar dapat merasai cerita di sebalik setiap bait lirik,” kata Khai.
Wany menyifatkan projek ini sebagai satu penghormatan besar dalam kerjayanya.
“Saya bersyukur diberi peluang menyampaikan karya ini bersama Khai. Lagu ini bukan sahaja mencabar emosi kami, tetapi juga menyerlahkan keserasian vokal yang sudah lama kami pupuk sejak awal kerjaya,” katanya.
“Berbagi Hati” kini tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan Deezer.
Drama “Berbagi Suami” pula dijangka membawa kisah cinta penuh konflik ini ke layar kaca, memberikan pengalaman emosi berganda kepada peminat drama dan muzik.