Lagu Baharu Diana Danielle, “Raja Dusta” – Suara Hati Wanita Yang Terluka
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Pelakon dan penyanyi berbakat besar, Diana Danielle, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbarunya berjudul “Raja Dusta”.
Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi satu luahan emosi yang cukup mendalam – suara hati seorang wanita yang pernah terluka dalam hubungan cinta.
“Raja Dusta” membawa pendengar menyelami sisi perit yang dialami ramai wanita – daripada janji manis yang dimungkiri, harapan yang dipermainkan, hinggalah keberanian untuk bangkit dan melepaskan diri daripada ikatan yang memudaratkan.
“Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi, dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri,” kata Diana yang turut mengakui lagu ini boleh dikaitkan dengan pengalaman peribadinya.
Walaupun tidak ditujukan secara khusus kepada sesiapa, lirik “Raja Dusta” sarat dengan sindiran halus dan mesej tersirat yang menggambarkan keteguhan jiwa selepas kecewa.
Lagu ini membuktikan bahawa Diana bukan sahaja mampu menyanyi dengan baik, malah berani menyentuh isu emosi yang sering disenyapkan dalam budaya masyarakat.
“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri,” jelasnya.
Proses rakaman lagu ini turut menjadi satu titik perubahan penting buat Diana yang sudah dua tahun tidak tampil dengan karya baharu.
Bekerjasama buat kali pertama dengan penerbit John Jeeves, beliau mengakui sokongan pasukan produksi memainkan peranan besar dalam mengembalikan keyakinannya.
Penghasilan video muzik yang dijalankan di Palm Garden Hotel, Putrajaya juga membawa pengalaman baru yang mencabar, namun menyeronokkan, buat Diana – lengkap dengan tarian, pelbagai lokasi, dan penggambaran yang panjang.
“Saya agak kekok pada mulanya… tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik,” tambahnya.
Raja Dusta bukan sekadar lagu – ia adalah peneman kepada mereka yang pernah merasa kehilangan, kekecewaan, dan kini memilih untuk bangkit dan terus melangkah.
Diana mengharapkan lagu ini dapat memberi kekuatan, malah menjadi lagu ‘tema’ untuk mereka yang akhirnya memilih diri sendiri.
“Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan, dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan yang menyakitkan dapat meraikan kebebasan mereka,” katanya penuh semangat.
Raja Dusta kini boleh didapati di semua platform penstriman digital mulai 18 April 2025. Saksikan juga muzik video rasmi di YouTube dan rasai sendiri suara hati yang diangkat menjadi kekuatan oleh Diana Danielle.