Ikuti Kami:

Lagu Asing Dipilih Sebagai Runut Bunyi Rasmi Drama Hospital Loveline

Lagu Asing Dipilih Sebagai Runut Bunyi Rasmi Drama Hospital Loveline

Penyanyi dan komposer muda, Najmi Niery, terus memperkukuh kedudukan dalam industri muzik tanah air apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya berjudul Asing dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi drama bersiri Hospital Loveline yang kini ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

Pemilihan lagu tersebut dianggap sebagai satu pengiktirafan bermakna buat Najmi yang masih baharu dalam industri seni suara.

Lebih menarik, lagu itu hanya dinilai berdasarkan bahagian korus sebelum pihak produksi membuat keputusan untuk mengangkatnya sebagai lagu tema utama drama berkenaan.

Menurut Najmi, lagu Asing dihasilkan dengan penuh kejujuran, menggambarkan perasaan kehilangan dan keasingan yang dialami seseorang selepas kehilangan insan tersayang.

“Lagu ini tentang seseorang yang cuba menyesuaikan diri selepas kehilangan orang yang sentiasa ada dalam hidupnya. Dulu mereka makan bersama, ketawa bersama kini hanya tinggal kenangan dan rasa sunyi yang terasa begitu asing,” katanya.

Najmi menjelaskan, pada awalnya lagu Asing dicipta dengan tempo yang lebih rancak, namun setelah dipilih sebagai OST, ia diolah semula menjadi lebih ‘relax’ dan santai supaya selaras dengan mood dan jalan cerita drama Hospital Loveline.

“Saya mahu pendengar benar-benar dapat merasai emosi lagu ini. Ia bukan sekadar sedih, tetapi membawa mesej bahawa rasa asing itu sebenarnya satu perkara normal apabila seseorang kehilangan rutin atau insan yang pernah mengisi hidupnya,” tambahnya.

Najmi turut menyifatkan Asing sebagai kelainan berbanding single-single terdahulu kerana kali ini beliau tampil dengan pendekatan muzik yang lebih ringan dan mudah didengar, namun tetap mengekalkan elemen akustik yang menenangkan.

“Kalau sebelum ini lagu saya cenderung ke arah balada perlahan dan galau, kali ini saya cuba tampil dengan karya yang lebih segar dan ‘easy listening’. Saya mahu pendengar muzik santai pun boleh menikmatinya,” ujarnya.

Lagu Asing diterbitkan hasil kerjasama Alternate Records Sdn Bhd, Naj&Co, dan Malika Entertainment, manakala edaran dilakukan oleh Universal Music Malaysia.

Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform digital, dan video visualiser rasmi turut disiarkan di saluran YouTube Najmi Niery.

Komen
Loading...