Lagu ‘Ahai’ Jadi Bukti Cinta Siti Nordiana Terhadap Irama Malaysia
- oleh MDaily Editor
- 8 Nov 2025 11:53 am
Penyanyi terkenal tanah air, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, kembali dengan sentuhan berbeza menerusi single terbaharu berjudul Ahai, yang mengangkat semula keindahan Irama Malaysia dalam gaya moden dan segar.
Dicipta oleh Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh di bawah label 1711 Music, lagu Ahai menjadi simbol kecintaan Nana terhadap genre muzik tradisional yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.
Menurutnya, karya ini adalah impian yang sudah dirancang selama dua tahun untuk mengembalikan semula nostalgia lagu Irama Malaysia dalam arus muzik semasa.
“Sudah lama saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. Selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat ini dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.
Berbeza dengan lagu-lagu sebelumnya yang lebih menjurus kepada pop balada dan pop rock, Ahai mengetengahkan elemen tradisional seperti gendang dan kompang, menjadikannya karya yang segar namun tetap mudah diterima pendengar masa kini.

Menurut Nana, kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu cukup serasi dan menghasilkan sesuatu yang benar-benar mencerminkan jiwanya.
“Saya puas hati dengan hasil mereka. Ahai memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan lenggok vokal yang menggambarkan semangat Irama Malaysia, tapi dalam gaya moden,” ujarnya.
Tambahnya, Ahai bukan sekadar hiburan, tetapi juga usaha kecilnya untuk memartabatkan semula muzik tradisional Melayu agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.
“Saya membesar dengan lagu-lagu Irama Malaysia dan dulu pernah keluarkan album genre ini berjudul Firuz pada 2003. Apabila ramai peminat minta saya nyanyi lagu sebegitu, saya rasa inilah masa terbaik untuk hidupkan semula genre ini,” katanya.
Dari segi mesej, Ahai mengandungi nilai kasih sayang, nasihat dan tanggungjawab dalam rumah tangga, sesuai dengan pendekatan lembut tetapi bermakna yang sering dibawa oleh Siti Nordiana.
“Lagu ini mengingatkan kita supaya menjaga pasangan, niat perkahwinan dan jangan aniaya orang yang kita sayang. Ia bukan sekadar lagu cinta, tapi panduan kehidupan,” jelasnya.
Sebagai meraikan pelancaran lagu tersebut, majlis pelancaran rasmi Ahai diadakan di Bukit Bintang semalam, menyaksikan kehadiran ramai peminat serta ahli Siti Nordiana FC yang turut memeriahkan acara.
Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasmi akan dilancarkan pada 7 November, jam 9 malam di saluran YouTube 1711 Music, menampilkan kemunculan khas Siti Nordiana FC bagi menambah kemeriahan visual karya tersebut.




