Ikuti Kami:

Lagenda 90-an Bergema di Konsert Rockestra, Lagu Keamanan Dunia Dilancarkan

Lagenda 90-an Bergema di Konsert Rockestra, Lagu Keamanan Dunia Dilancarkan

Foto Oleh: Papadin.

Aura keemasan era 90-an kembali menghangatkan pentas apabila barisan penyanyi legenda tanah air bersatu dalam Konsert Rockestra Lagenda 90-an, yang berlangsung penuh meriah di Kelab Golf Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh malam tadi.

Konsert istimewa anjuran 211 Event Empire itu bukan sekadar membawa nostalgia muzik 1990-an, malah turut menjadi platform pelancaran rasmi lagu Keamanan Dunia bertajuk Rahsia & Maruah nyanyian Reyhana Yunus, sebuah karya yang membawa mesej perpaduan dan solidariti sejagat.

Menampilkan barisan penyanyi terkenal seperti Azan (Scan), Aan (Ways), Blank (Gamma), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success), konsert tersebut menyajikan persembahan bertenaga yang menggabungkan elemen muzik rock dengan sentuhan orkestra moden, memberikan pengalaman segar kepada peminat muzik tempatan.

Dua pengacara berpengalaman, DJ IsmaHalil Hamzah dan Marsila Hassan, berjaya menceriakan suasana dengan gaya bersahaja serta interaksi mesra bersama penonton, menjadikan malam tersebut sarat dengan emosi dan kenangan manis.

Wakil penganjur, Cik Intan Madura, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 211 Event Empire, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan acara tersebut yang berjalan lancar dan mendapat sambutan luar biasa.

“Saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah kerana kita telah berjaya menamatkan perjalanan konsert Rockestra ini. Terima kasih kepada semua yang hadir, para artis, tenaga kerja dan seluruh warga produksi yang menjayakannya.

“Saya amat berpuas hati dengan kerjasama semua pihak dan berharap akan ada peluang untuk kami menganjurkan edisi kedua pada masa akan datang,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang hadir bagi menyempurnakan pelancaran lagu Keamanan Dunia.

Turut memeriahkan suasana ialah kehadiran aktivis Global Sumud Flotilla, yang diraikan atas sumbangan mereka dalam memperjuangkan misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Lagu Rahsia & Maruah dicipta khas oleh Datuk Seri Salim Abd Rahman dengan gubahan melodi oleh Wan Andre itu didedikasikan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tanda penghargaan dan sokongan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, terhadap komitmen beliau dalam memperjuangkan keamanan sejagat.


Reyhana Yunus dan Wan Andre menyampaikan lagu Rahsia & Maruah.

Mengulas lanjut, Intan berkata pelancaran lagu Keamanan Dunia diadakan serentak dengan konsert berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap isu kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.

“Lagu ini membawa mesej solidariti dan kedamaian terhadap krisis yang sedang berlaku di Gaza. Ia menjadi simbol perpaduan dan seruan keamanan sejagat. Insya-Allah versi bahasa Inggeris lagu ini juga akan diterbitkan agar dapat disampaikan kepada seluruh dunia,” ujarnya.

Selain menghiburkan, penganjuran ini juga bertujuan menyemarakkan semangat cinta damai dalam kalangan generasi muda agar terus menjadi agen penyebar mesej kasih sayang dan keharmonian di peringkat nasional serta global.

Komen
Loading...