Kyuhyun, AHOF bakal gegarkan K-SARANG Super Concert 2026 di Kuala Lumpur
- oleh MDaily Editor
- 27 Feb 2026 1:03 pm
Gelombang muzik Korea bakal melanda Malaysia dengan lebih hebat menerusi penganjuran sulung K-SARANG SUPER CONCERT 2026, sebuah acara muzik spektakular yang menampilkan sensasi K-pop terkemuka, Kyuhyun dan kumpulan AHOF (Artist Hall of Fame).
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 11 April 2026 di The Arch Galeries, Kuala Lumpur itu dijangka menjadi perhimpunan utama bagi peminat muzik K-pop di Malaysia, menawarkan pengalaman persembahan secara langsung yang imersif dan penuh tenaga.
Dianjurkan oleh HIFIVE Entertainment dengan kerjasama K-WAVE, konsert ini bukan sekadar sebuah acara hiburan, malah menjadi wadah penyatuan budaya yang meraikan minat mendalam peminat terhadap muzik Korea.

Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, Sean Pereira, berkata konsert tersebut merupakan permulaan kepada era baharu penganjuran acara K-pop di Malaysia yang menghubungkan ikon global dengan peminat secara lebih dekat.
“K-SARANG SUPER CONCERT bukanlah sekadar konsert; ia adalah satu acara yang meraikan rasa cinta terhadap K-pop dan penyatuan yang dibawanya kepada peminat di seluruh dunia.”
“Kami berbangga mempersembahkan sebuah konsert di mana peminat Malaysia dapat merasai pengalaman bersama artis kegemaran mereka secara lebih dekat, sekali gus mencipta memori yang melangkaui bahasa dan sempadan,” katanya.

Para peminat bakal disajikan dengan vokal mantap daripada Kyuhyun, vokalis tersohor kumpulan Super Junior yang terkenal dengan balada penuh jiwa, serta persembahan dinamik daripada AHOF, kumpulan yang sedang meningkat naik di persada antarabangsa.
Tiket bagi konsert ini kini boleh didapati secara eksklusif menerusi platform Ticket2U dengan harga bermula dari RM388 sehingga RM888.
Setiap kategori tiket didatangkan dengan keistimewaan eksklusif termasuk sesi Sound Check dan Send Off bagi pemegang tiket kategori terpilih.
Maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan perincian acara boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi di www.ticket2u.com.my.




