Kurang Seminggu, Hael Husaini, Adira Suhaimi, Ara Johari Giat Latihan Demi Peminat Sabah
- oleh Mohd Indera
- 5 Aug 2025 1:10 am

Tinggal kurang seminggu sebelum pentas Festival Tentang Cinta berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, tiga penyanyi popular tanah air iaitu Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Ara Johari dilihat tidak mengambil mudah sebaliknya giat menjalani latihan intensif demi memastikan persembahan terbaik buat peminat Sabah.
Latihan yang berlangsung di ibu negara hari ini memperlihatkan kesungguhan barisan artis ini dalam menyampaikan emosi, susunan muzik dan visual persembahan yang menyentuh hati seiring dengan tema festival yang meraikan pelbagai dimensi cinta.
Menurut Hael Husaini, dia melihat persembahan kali ini sebagai peluang untuk lebih dekat dengan penonton khususnya di Sabah.
“Setiap lagu yang dibawa bukan sekadar hiburan tetapi ada cerita yang mahu saya sampaikan. Saya tahu peminat Sabah sangat menghargai persembahan penuh jiwa jadi saya takkan sia-siakan peluang ini,” katanya.
Bagi Adira Suhaimi yang berasal dari Ranau, Sabah, konsert ini memiliki nilai sentimental tersendiri.
“Saya sangat teruja sebab ini bukan sekadar persembahan tapi pulang ke ‘rumah’ untuk berkongsi lagu-lagu yang pernah menemani ramai dalam fasa cinta mereka. Saya mahu peminat rasa keikhlasan saya atas pentas nanti,” ujarnya.
Ara Johari pula menyifatkan konsert ini sebagai pengalaman baharu walaupun dia sudah beberapa kali membuat persembahan di Sabah.
“Ara memang selalu buat show dekat Sabah tapi ini pertama kali konsert berskala besar yang menggabungkan ramai artis. Untuk konsert ini Ara fokus pada susunan lagu, penghayatan dan fesyen yang mungkin sedikit luar jangka. Ara nak bawa sesuatu yang lebih personal dan bermakna,” jelasnya.
“Peminat Sabah memang luar biasa. Mereka ‘sporting’, menyanyi sama-sama dan sangat menyokong. Itu yang buat Ara lebih semangat,” tambahnya lagi.
Festival Tentang Cinta yang bakal berlangsung pada 9 Ogos 2025, jam 8 malam, dijangka menjadi malam penuh emosi dengan gabungan artis tempatan dan antarabangsa.
Turut memeriahkan malam tersebut ialah teraju utama, penyanyi popular Indonesia Ziva Magnolya dan Andmesh Kamaleng serta penyanyi kelahiran Keningau, Sabah, Mary Grace serta pengacara majlis, Didie Alias yang membawa warna suara dari pelbagai budaya.
Penganjur menjanjikan pengalaman konsert yang menyentuh hati lengkap dengan gubahan muzik eksklusif, visual memukau serta tema cinta dalam pelbagai bentuk termasuk cinta romantik, cinta diri dan cinta terhadap insan tersayang.
Tiket masih boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM158 hingga RM988 mengikut kategori tempat duduk.