Kumpulan Taiwan GENBLUE Cipta Sejarah di Korea, Jelajah Asia Termasuk Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

GENBLUE, kumpulan gadis dari Taiwan, mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama dari negara itu yang berjaya menembusi pasaran album fizikal di Korea Selatan.
Dengan pelancaran EP Korea pertama mereka, ACT LIKE THAT, GENBLUE kini bersiap sedia untuk menjelajah Asia, termasuk Malaysia, bagi bertemu peminat dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri K-pop.
Dibentuk di bawah TEN Entertainment, GENBLUE dianggotai oleh enam ahli – XXIN, AYEON, YUAN, LILI, AYAKO, dan NICO.
Nama mereka, yang merupakan gabungan perkataan Generation dan Blue, melambangkan semangat era baharu serta keluasan lautan yang tidak berpenghujung.
Kumpulan ini mula mendapat perhatian menerusi rancangan realiti NEXT GIRLZ pada 2023 sebelum debut di Korea dengan single COCOCO pada 2024.
Dengan latihan intensif bersama jurulatih dari JYP, YG, SM, dan HYBE, GENBLUE berjaya memenangi K-POP Rookie Award di Korean Culture and Entertainment Awards, sekaligus membuktikan bakat dan usaha gigih mereka.
EP ACT LIKE THAT mengandungi empat lagu – ACT LIKE THAT, OH!, SLOW DOWN, dan FEEL LIKE SPRING, yang mempamerkan pelbagai gaya muzik daripada rentak rancak hingga melodi yang lebih lembut.
Video muzik ACT LIKE THAT menjadi tular kerana konsep one-take yang unik serta koreografi bertenaga yang memperlihatkan sisi berani dan ceria kumpulan ini.
Di Korea, GENBLUE semakin mendapat perhatian melalui pelbagai aktiviti seperti persembahan muzik, acara tandatangan album, flash mob, kedai pop-up eksklusif, serta kolaborasi foto booth.
Demi memperkukuh kehadiran mereka di pentas antarabangsa, para ahli kumpulan yang berbahasa Mandarin ini telah mempelajari bahasa Korea dan kini sedang meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.
Ketua kumpulan, XXIN, menyatakan bahawa EP ini adalah dedikasi kepada peminat sebagai penghargaan atas sokongan mereka, sambil membawa pembaharuan dalam dunia K-pop.
“Kami berusaha keras untuk membawa warna baharu dalam dunia K-pop, dan EP ini adalah dedikasi kami kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan GENBLUE.” katanya.
Sebagai kejutan buat peminat, GENBLUE memberi bayangan bahawa mereka mungkin mengadakan acara istimewa sekiranya video muzik ACT LIKE THAT mencecah 30 juta tontonan.
Peminat di Malaysia kini berpeluang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini dengan terus menyokong mereka!