
Kugiran Masdo, kumpulan retro moden yang popular di kalangan peminat muzik tempatan, baru-baru ini mengumumkan konsert ulang tahun ke-10 mereka yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2025.
Konsert berprestij ini akan diadakan di Idea Live Arena KL @ 3Damansara, Petaling Jaya, dan diharap menjadi salah satu acara terbesar dalam industri hiburan tanah air.
Pengumuman ini dibuat semasa sebuah showcase eksklusif “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” yang diadakan di Saloma, Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Malam tersebut diserikan dengan kehadiran ratusan peminat yang menyaksikan persembahan khas daripada Kugiran Masdo, yang telah menempa nama dalam industri muzik Malaysia sejak sedekad lalu.
Sepanjang showcase tersebut, Masdo telah mempersembahkan pelbagai lagu hit mereka antaranya “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah”, yang menghangatkan suasana dan membuat para hadirin bernyanyi bersama.
Beberapa hari sebelum acara berlangsung, para peminat mula membuat spekulasi selepas ahli kumpulan, Ali Sariah, Asmawi, dan Putu Ceri, memuat naik hantaran berbentuk kriptik di Instagram mereka, seakan memberi bayangan akan berlakunya satu pengumuman besar. Teka-teki ini akhirnya terjawab pada malam perjumpaan rahsia tersebut.
Kemuncak malam itu adalah pengumuman rasmi konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ dianjurkan oleh Hitman Solutions yang bakal diadakan di Idea Live Arena, sebuah venue baru yang menawarkan suasana moden dan canggih yang boleh memuatkan 7,000 pax.
Para peminat yang ingin menghadiri konsert ini boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi www.hitmanlive.com, dengan harga tiket bermula dari RM128 untuk kategori Rockzone (Berdiri) dan RM198 untuk CAT Free Seating.
Pra-jualan tiket akan bermula pada 2 Mei 2025, dengan jualan umum dibuka pada 5 Mei 2025.
Konsert ini bakal menampilkan persembahan penuh nostalgia dan kenangan, yang pastinya akan membawa peminat mengimbas kembali detik-detik bersejarah dalam perjalanan muzik Kugiran Masdo.