Ikuti Kami:

Kuarantin Wajib Di Pusat Kuarantin Mulai Jumaat Ini – Ismail Sabri

Kuarantin Wajib Di Pusat Kuarantin Mulai Jumaat Ini – Ismail Sabri

Bermula Jumaat, rakyat Malaysia yang pulang dan warga asing yang memasuki negara akan ditempatkan di tempat kuarantin wajib Covid-19 seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan keputusan ini rakyat malaysia yang pulang ke tanah air tidak perlu melaksananakan swab test kerana mereka secara automatik akan dikuarantin secara wajib.

Namun mereka yang terbabit perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel, berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian, sebagai Stesen Kuarantin.

“Susulan keputusan itu, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia juga tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab COVID-19 di negara asal, dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan kerana mereka akan terus di kuarantin.

“Bagaimanapun, rakyat asing perlu jalani ujian swab COVID-19, di negara asal,” katanya.

Beliau berkata keputusan kuarantin wajib itu dibuat, ekoran kerajaan mendapati masih terdapat individu yang melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah, dan sikap degil mereka mengundang risiko penularan tempatan.

“Kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin rumah, yang telah menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 pada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“Tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas, termasuk mengenakan kompaun RM1,000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Komen
Loading...