Ikuti Kami:

​Kualiti Setanding Global, BGM Burgerman Cawangan Kedua Kini Dibuka di Setapak

​Kualiti Setanding Global, BGM Burgerman Cawangan Kedua Kini Dibuka di Setapak

Selepas setahun mengukuhkan jenama di Bangi, rangkaian makanan segera tempatan, BGM Burgerman kini mengorak langkah strategik dengan pembukaan cawangan keduanya di Suria Setapak, di sini, semalam.

​Pembukaan cawangan baharu itu bukan sahaja menjadi simbol pertumbuhan jenama berkenaan, malah membuktikan kemampuan usahawan tempatan dalam membina sistem operasi makanan segera yang kompetitif dan setanding dengan jenama antarabangsa.

​Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat berkata, pemilihan Setapak sebagai lokasi kedua dibuat berdasarkan kepadatan populasi dan profil demografi penduduk yang pelbagai di kawasan sekitar.

​”Ini adalah langkah pertama kami untuk melangkah keluar dari cawangan asal di Bangi. Selepas setahun beroperasi, kami sudah mempunyai sistem, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan latihan yang mantap untuk bersaing secara global.

​”Kami memilih lokasi ini kerana ia terletak di tengah-tengah kawasan strategik seperti Wangsa Maju, Gombak, Batu Caves dan Sentul yang mempunyai kepadatan penduduk mencecah 400,000 orang dalam radius lima kilometer,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan berkenaan.

​Berbeza dengan majlis perasmian konvensional, BGM Burgerman memilih untuk menjadikan pelanggan sebagai ‘VVIP’ dengan menjemput 1,000 individu terawal untuk merasmikan cawangan berkenaan.

​Sebagai tanda penghargaan, pelanggan berpeluang menikmati menu Mega Burger yang harga asalnya RM17 pada harga promosi hanya RM2.

​”Kita mahu komuniti sendiri yang merasmikan pembukaan ini. Maklum balas yang diterima sangat positif, termasuk daripada pelanggan pelbagai kaum yang menyukai kualiti produk dan sistem yang kami perkenalkan,” jelas beliau.

​Mengulas mengenai sasaran perniagaan, Nordin menyatakan pelaburan bagi cawangan Setapak adalah dua kali ganda berbanding cawangan pertama di Bangi Gateway Shopping Complex, selaras dengan kapasiti fasiliti yang mampu menampung jualan sehingga RM100,000 sehari.

​”Kami menyasarkan jualan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di Bangi. Jika sambutan di sini terus melonjak, tidak mustahil kami akan mempertimbangkan operasi 24 jam pada masa hadapan,” katanya.

​Selain menu utama burger ayam dan daging, cawangan di Jalan Suria Setapak ini turut memperkenalkan menu sarapan pagi seperti nasi lemak dan bubur, serta pilihan pencuci mulut seperti kek, aiskrim dan kopi bermula minggu depan.

​BGM Burgerman Setapak beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 12.30 tengah malam, kecuali pada hari raya utama.

Komen
Loading...