Kuala Lumpur Tower Tawar ‘Rasa Asli’ Warisan Desa di Ketinggian 292 Meter
- oleh MDaily Editor
- 10 Dec 2025 1:18 pm
Menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak 1447 Hijrah, Kuala Lumpur Tower dengan bangganya mempersembahkan semula bufet tahunan ikonik yang dinanti-nantikan: Citarasa Santapan Desa – “Rasa Asli, Suasana Eksklusif”.
Pengalaman gastronomi premium ini bakal berlangsung dari 21 Februari hingga 16 Mac 2026 di Sky Mega Hall, sebuah ruang makan eksklusif yang terletak pada ketinggian 292 meter.
Bertemakan “Rasa Asli, Suasana Eksklusif”, bufet kali ini menjanjikan pengalaman iftar yang menggabungkan nostalgia hidangan kampung dengan sentuhan kemewahan moden, sambil disajikan dengan panorama 360° bandar raya Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman, berkata acara ini bukan sekadar bufet, malah sebuah pengalaman gastronomi yang mengangkat warisan desa ke pentas premium Kuala Lumpur Tower.

“Tahun demi tahun, ia kekal menjadi pilihan keluarga, korporat dan tetamu antarabangsa. Kami menjemput anda menikmati sentuhan eksklusif 2026 yang pastinya meninggalkan kenangan indah Ramadan anda,” katanya.
Bufet Citarasa Santapan Desa menampilkan lebih 200 pilihan hidangan desa, yang direka untuk menjamin pengalaman berbeza setiap minggu melalui empat set menu rotasi mingguan.
Antara hidangan yang menjadi taruhan utama pasukan kulinari, yang diketuai oleh Executive Sous Chef, Shahiral Azwan, ialah hidangan tradisi seperti Daging Rendang Tok, Kari Kepala Ikan Samma, Ayam Percik Desa, serta Gerai Live Cooking yang menampilkan Kambing Golek Manja dan Noodle Soup istimewa.

“Noodle Soup kami berbeza kerana kami masukkan bahan-bahan rencah istimewa, selain sup daging kami yang menggunakan semua bahagian lembu—ekor, lidah, dan rusuk,” jelas Chef Shahiral.
Beliau turut menonjolkan keunikan Bubur Lambuk Berulam yang menggunakan pelbagai jenis ulam segar seperti daun kaduk dan ulam raja.
Bagi mengekalkan standard eksklusif dan privasi, pihak Kuala Lumpur Tower menetapkan had hanya 220 tetamu diterima setiap hari.

Tetamu juga berpeluang merebut Window Seat terhad untuk menikmati pemandangan terbaik Kuala Lumpur. Kemudahan lain termasuk surau, layanan profesional dan ruang menunggu yang selesa.
Orang ramai dijemput merebut tawaran Promosi ‘Early Bird’ yang dibuka sekarang sehingga 31 Disember 2025, dengan harga serendah RM125 untuk dewasa hari biasa.
Tempahan kini dibuka dan tertakluk kepada kapasiti yang sangat terhad. Untuk pertanyaan dan tempahan, sila hubungi +603 2630 3033.




