Ikuti Kami:

Ku Tetap Ada’ Temukan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma

Ku Tetap Ada’ Temukan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma

Pelakon muda yang sedang meningkat naik, Tracie Sinidol dan Jazmy Juma kini melebarkan sayap ke bidang nyanyian menerusi buah tangan sulung mereka, sebuah lagu duet romantik berjudul Ku Tetap Ada.

Naskhah yang dilancarkan di bawah label Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records & Talents itu turut diangkat sebagai lagu tema (OST) rasmi bagi drama bersiri popular, Hilang Dalam Rindu 2.

Bagi Tracie, peluang merakamkan lagu sendiri merupakan satu pencapaian yang tidak pernah disangka, apatah lagi bagi drama yang diterajui oleh dirinya sendiri.

“Sudah lama saya mengimpikan untuk mempunyai lagu sendiri yang boleh didengar dalam senarai main (playlist) peminat. Namun, saya tidak sangka rezeki datang dalam bentuk OST.

“Jujurnya saya agak gementar pada awalnya kerana ini pengalaman pertama merakam suara secara profesional, tetapi sokongan pasukan produksi dan komposer banyak membantu saya mengatasi keraguan diri,” katanya.

Lagu yang sarat dengan emosi ini merupakan hasil ciptaan komposer dan penulis lirik dari Indonesia, Wirawati Diana Putri dan Revo Marty.

Melodi yang dihasilkan dikatakan sangat bertepatan dengan dinamika watak Aira Nadira dan Nadim Eijaz dalam drama berkenaan.

Bagi Jazmy Juma, kekuatan utama Ku Tetap Ada terletak pada kejujuran liriknya yang menyentuh soal kesetiaan seorang lelaki.

“Lagu ini bukan sekadar bicara cinta biasa. Ia tentang komitmen seseorang yang tetap memilih untuk bertahan dan menjaga pasangannya walaupun dalam fasa yang paling sukar.

“Apabila saya memahami konteks cerita dalam drama, saya rasa lagu ini mempunyai jiwa yang sangat kuat untuk dirasai oleh pendengar,” jelas Jazmy.

Walaupun masing-masing masih baharu dalam dunia rakaman, keserasian yang sedia terjalin di set penggambaran memudahkan proses di dalam studio.

Mereka banyak berbincang mengenai penyampaian emosi agar mesej lagu tersebut sampai terus ke hati peminat.

Terdahulu, musim kedua Hilang Dalam Rindu bakal menyaksikan pergolakan rumah tangga watak utama selepas trauma kelahiran anak mereka, yang turut menguji sejauh mana janji ‘tetap ada’ mampu dipertahankan.

Ku Tetap Ada kini sudah tersedia untuk dinikmati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube bermula sekarang.

Loading...