KSIA Umumkan KamiSempoi Golden Award 2024 untuk Meraikan Bakat dan Rakan Niaga
- oleh Mohd Indera
- 7 hari lalu

KamiSempoi International Agency (KSIA), agensi hos live TikTok terkemuka, bakal menganjurkan KamiSempoi Golden Award 2024 pada 12 Mei 2025 di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur.
Acara ini bertujuan untuk meraikan pencapaian hos live TikTok dan rakan niaga mereka di peringkat Asia Tenggara.
Dengan 27 kategori anugerah, acara ini termasuk kategori baharu seperti Top Host KamiSempoi – Singapura 2024, Top Host KamiSempoi – Indonesia 2024, dan Top Host KamiSempoi – Malaysia 2024. Para pemenang akan bersaing untuk gelaran utama, iaitu Top Host KamiSempoi of the Year 2024.
Pengasas KSIA, To Chin Swee, atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee, berkongsi bahawa rangkaian hos live KSIA kini berkembang pesat, mencatatkan 3,100 hos di Malaysia, 1,400 di Indonesia, dan 100 di Singapura.
Ini adalah peningkatan ketara daripada tahun sebelumnya, menunjukkan pengaruh KSIA yang semakin meluas di rantau ini.
Hos live TikTok seperti Adelyn Heng, yang berjaya mencapai Top 3 di Asia Tenggara dan Top 100 global, adalah bukti komitmen KSIA dalam melahirkan bakat tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Selain itu, KSIA juga meraikan kerjasama perniagaan dengan syarikat seperti BossKlan, KSIA Christ, dan Mentol Talent, yang menjana pendapatan berjuta ringgit melalui jualan berlian dan projek kreatif lain.
Peningkatan jumlah kategori dalam acara KamiSempoi Golden Award 2024 ini membuktikan bahawa jenama KSIA sebagai syarikat agensi TikTok di rantau Asia Tenggara ini semakin dipercayai.
“Buktinya jumlah live host di Malaysia yang menaungi KSIA semakin bertambah iaitu sebanyak 3,100 di Malaysia, 1,400 (Indonesia) dan 100 (Singapura) serta dinaungi sebanyak 27 (Malaysia) dan 9 (Indonesia) rakan niaga secara keseluruhan.
“Angka ini jauh lebih besar berbanding tahun lalu yang mana hanya sebanyak 1,300 (Malaysia), 550 (Indonesia) dan 100 (Singapura) serta 21 rakan niaga yang menaungi KSIA.” katanya.
Pakcik Chin Swee menekankan bahawa kejayaan KSIA dicapai hasil kerjasama antara bakat berdedikasi dan rakan niaga yang memahami visi mereka untuk menerajui industri hos live di Asia Tenggara.
Beliau juga menyatakan bahawa KSIA bukan hanya mencari bakat, tetapi turut membimbing hos live untuk mencapai potensi penuh dan memberi impak di peringkat global.
Dengan reputasi dan pencapaian yang diraih KSIA, Pakcik Chin Swee berkata semakin ramai yang berminat untuk menjadi live host naungan mereka.
“Kami menerima permintaan paling banyak di Sabah. Oleh itu, kami sedang dalam perancangan untuk membuka pejabat KSIA di sana yang akan memberi tumpuan kepada bakat-bakat live host dari Borneo iaitu Sabah serta Sarawak.
“Selain itu, kami juga mahu terus mengukuhkan empayar KSIA di Asia Tenggara dan selanjutnya di Asia untuk masa akan datang,” katanya.