KRU Ukir Sejarah, GenKRU 2025 Catat Dua Rekod Malaysia Book of Records
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Kumpulan legenda muzik tempatan, KRU, mencatat sejarah baharu dalam industri hiburan tanah air apabila konsert mega mereka, GenKRU 2025, diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) dengan dua pengiktirafan serentak.
Konsert yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, bukan sahaja mencetus fenomena, malah mencatat dua pencapaian luar biasa iaitu Most Show in a Single Concerts Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour.
Pengiktirafan Most Show in a Single Concerts Series diberikan kepada KRU selepas kumpulan adik-beradik Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim berjaya mengadakan persembahan selama empat malam berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei.
Norman berkata kejayaan itu merupakan hasil sokongan luar biasa para peminat yang menjadikan konsert yang dirancang untuk satu malam berkembang kepada empat malam.
“Pencapaian ini adalah satu penghargaan buat semua peminat yang terus setia menyokong KRU lebih tiga dekad. Tanpa mereka, kejayaan GenKRU 2025 dan pengiktirafan daripada MBR ini tidak mungkin berlaku,” katanya.
Sementara itu, pihak penganjur, Icon Entertainment (M) Sdn Bhd turut menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour selepas 8,000 tiket untuk konsert tersebut habis dijual dalam tempoh satu jam selepas dilancarkan.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, sambutan luar biasa terhadap tiket GenKRU membuktikan bahawa jenama KRU masih relevan dan mendapat tempat di hati peminat pelbagai generasi.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada MBR atas pengiktirafan ini. Paling utama, penghargaan ini milik semua peminat yang telah menghidupkan semula nostalgia dan semangat konsert GenKRU,” katanya.
Lebih 30,000 peminat hadir menyaksikan konsert empat malam itu, yang turut menampilkan kemunculan istimewa artis undangan seperti kumpulan Feminin, Elite dan penyanyi Adam AF, menjadikan GenKRU 2025 antara konsert terbesar tahun ini.