Ikuti Kami:

KRU Tutup Tirai 2025 Dengan Persembahan Penuh Energi

KRU Tutup Tirai 2025 Dengan Persembahan Penuh Energi

Trio legenda, KRU menutup tirai 2025 dengan persembahan penuh energi menerusi konsert GenKru: The Finale One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi, menyaksikan lebih 10,000 peminat hadir bagi meraikan penutup siri jelajah mereka tahun ini.

Konsert berdurasi hampir dua jam itu menyajikan beberapa karya jarang dipersembahkan seperti Sampai, Emilia dan Sayang, sekali gus mengubati rindu peminat terhadap lagu-lagu ‘rare’ ciptaan kumpulan yang telah mewarnai industri muzik lebih tiga dekad.

Persembahan mereka diiringi pula oleh penyanyi latar jemputan, Dina Nazir dan Zulkarnain atau Nine daripada Phyne Ballerz, memberikan dimensi vokal yang lebih padat dan bertenaga serta kehadiran dua pemain gitar tersohor, Edrie Hashim dan Ritz Metalasia yang memberi lebih energi.

Turut memeriahkan pentas ialah barisan artis jemputan seperti Adam, kumpulan ELITE, Rabbani, Juliana Banos serta kemunculan istimewa Kasih Leona.

Yusry Abdul Halim dalam ucapannya turut menyatakan kekaguman terhadap sokongan luar biasa peminat sehingga memungkinkan mereka mengadakan lima konsert dalam tempoh singkat.

“Saya rasa tak pernah ada orang buat lima kali konsert dalam enam bulan dekat Kuala Lumpur. Terima kasih banyak-banyak semua.” katanya disambut sorakan gemuruh penonton.

Mengulas lanjut, Edry menjelaskan bahawa kelainan untuk persembahan finale ini muncul daripada interaksi bersama peminat melalui sesi live di media sosial.

“Semestinya tiada orang nak tengok penampilan yang sama setiap kali. Jadi GenKru The Finale kita buat lain sikit.

Kita tanya peminat apa lagu apa yang mereka nak. Kebanyakkan lagu-lagu ‘rare’ mereka pilih. Masak! Tapi itu menunjukkan mereka GenKRU sejati. OG GenKRU!” katanya.

Sementara itu, Norman menambah bahawa hampir keseluruhan persembahan disusun semula untuk memberi pengalaman baharu kepada peminat.

“Yang penting malam ni, kita ada line-up pemuzik baru. Kita ada dua pemain gitar undangan, Edrie Hashim dan Ritz Metalasia. Pakaian kita juga baru, penampilan baru, penari baru. Kita ubah gubahan lagu dan membawa artis jemputan baru.” katanya.

Sementara itu, sebaik sahaja konsert berakhir, Edry mengalami kekejangan otot dan muntah, menyebabkan beliau tidak muncul bersama Norman dan Yusry pada awal sesi sidang media.

Bagaimanapun, beliau tetap menggagahkan diri untuk bertemu wartawan dalam keadaan berpapah.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat berada lama dalam sidang media ini, tetapi tidak mengapa, Yusry dan Norman boleh bercakap bagi pihak saya.

Saya mengalami kekejangan selepas konsert tadi. Mungkin sebab terlalu kepenatan dan kurang makan,” katanya.

Sepanjang persembahan, trio tiga beradik Norman, Yusry, dan Edry mempersembahkan lebih 20 lagu hits mereka termasuk lagu-lagu sing-along seperti Awas, Mengerti, Oh La La!, Jangan Lafazkan, Fanatik dan Untukmu.

Komen
Loading...