Ikuti Kami:

KRU Hidupkan Nostalgia R&B dengan ‘One More Time’

KRU Hidupkan Nostalgia R&B dengan ‘One More Time’

KRU sekali lagi mengimbau kenangan era kegemilangan R&B dengan pelancaran single terbaru mereka, One More Time.

Lagu kedua dari album Kaset ini bukan sahaja membawa pendengar kembali ke zaman muzik 90-an, tetapi juga memperlihatkan kematangan Norman, Yusry, dan Edry dalam menyampaikan emosi mendalam melalui vokal mereka.

One More Time mengekalkan identiti muzik R&B khas KRU yang pernah memikat hati jutaan peminat.

Liriknya mengisahkan perjalanan emosi seseorang yang kecewa dalam percintaan tetapi memilih untuk menerima kenyataan melihat bekas kekasihnya bahagia dengan orang lain.

Melodi dan susunan muziknya menghidupkan semula nostalgia dengan elemen-elemen unik yang mempopularkan kumpulan ini sejak dahulu.

Lagu ini turut dikuatkan dengan teknologi moden dalam muzik video One More Time, yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) KRU.

Video ini memaparkan evolusi wajah ahli kumpulan dari era lalu hingga kini, mencipta pengalaman visual yang menghidupkan memori peminat lama sambil memperkenalkan kumpulan ini kepada generasi baharu.

“Kami ingin mengekalkan identiti muzik kami sambil menunjukkan bagaimana muzik dan teknologi boleh berpadu untuk memberikan pengalaman yang lebih bermakna,” kata Yusry.

Sebelum ini, single pertama mereka, Voodoo, mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 1.2 juta tontonan di YouTube dan menarik perhatian peminat dari serata dunia, termasuk di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Kami percaya One More Time mampu menghidupkan semula memori indah peminat lama dan pada masa yang sama mencipta kenangan baharu bersama peminat generasi Alpha,” tambah Norman.

One More Time kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music.

Ikuti perkembangan terkini KRU melalui akaun rasmi mereka di YouTube, Instagram, TikTok, dan Facebook.

Komen
Loading...