KRU Bakal Gegarkan Singapura! GenKRU Live In Singapore 28 Jun Ini di The Star Theatre
- oleh Mohd Indera
- 4 hari lalu

Kumpulan legenda yang telah menjadi nadi industri muzik Malaysia sejak era 90-an, KRU, bakal mencipta satu lagi sejarah apabila mereka kembali menggegarkan pentas konsert – kali ini di Singapura menerusi GenKRU Live In Singapore yang akan berlangsung pada 28 Jun 2025 (Sabtu) di The Star Theatre, jam 8 malam.
Selepas kejayaan luar biasa Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil yang mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama di Malaysia mementaskan konsert selama tiga hari berturut-turut, KRU kini melebarkan fenomena mereka ke Kota Singa.
Dikenali dengan himpunan lagu hits seperti Awas, Mengerti, Fanatik, dan Ohh! La!la!, kehadiran mereka pastinya ditunggu-tunggu oleh para peminat tegar di Singapura.
Menurut penganjur ICON Entertainment, sambutan hangat peminat di Kuala Lumpur mendorong mereka untuk merealisasikan impian peminat di Singapura pula.
“Kami bangga kerana impian membawa GenKRU ke Singapura akhirnya tercapai. KRU sendiri tidak berfikir panjang apabila kami usulkan idea ini kerana mereka percaya peminat di Singapura juga perlu diberikan momen eksklusif bersama,” kata Iman Tang, pengasas dan pemilik ICON Entertainment.
Bagi KRU yang terdiri daripada tiga bersaudara — Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim, konsert ini adalah simbol penghargaan kepada peminat setia mereka.
“Kami setuju untuk GenKRU Live In Singapore sebagai tanda terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi peminat dari dulu hingga kini,” ujar Edry. “Kalau nak lagi ‘gerek’, jangan lupa ikut dress code yang akan diumumkan nanti dan hafal semua lagu KRU!”
Menambah lagi keterujaan, pihak penganjur turut mengumumkan tema kod pakaian khas berinspirasikan era 90-an bagi para penonton.
Peminat digalakkan mengenakan jenama-jenama ikonik seperti Vision Street Wear, FUBU, B.U.M Equipment, United Colors of Benetton, Timberland, Champion, Stussy, Tommy Hilfiger, LA Gear, dan banyak lagi untuk menghidupkan nostalgia zaman kegemilangan muzik dan fesyen era tersebut.
Jangan risau – senarai jenama lengkap telah disediakan khas untuk anda yang mahu tampil bergaya seperti Generasi KRU sebenar!
Tiket akan mula dijual secara berperingkat melalui SISTIC, dan para peminat disarankan untuk mengikuti segala maklumat terkini bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang keemasan ini.
Harga tiket bermula dari SGD $208 hingga SGD $328, bergantung kepada kategori yang ditawarkan. Pembelian tiket boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi SISTIC di www.sistic.com.sg.
Fanatik-fanatik KRU di Singapura – are you ready? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kemunculan semula paling epik tahun ini.