Kristal X & Azlan The Typewriter ‘Langgar’ Zepp Kuala Lumpur Feb 2026
- oleh MDaily Editor
- 25 Sep 2025 7:40 pm
Pentas Zepp Kuala Lumpur bakal ‘dilanggar’ dua pemuzik gergasi tanah air apabila Kristal X dan Azlan & The Typewriter bersatu dalam konsert eksklusif bertajuk Rockolusi Kuasa Dua pada 1 Februari 2026.
Konsert ini anjuran Republic Mokhmah Records, yang mahu menggegarkan kembali semangat rock tempatan dengan gabungan dua nama yang sudah lama menakluk hati peminat.
Bagi Kristal X, kemunculan semula mereka di pentas besar pastinya mengubat rindu peminat setia dengan deretan lagu popular seperti Memburu Impian, Seragam Hitam, Suatu Kenangan dan Luahan Hati.
Sementara itu, peminat Azlan & The Typewriter bakal merasai kehangatan semula karya fenomenal Jangan Khianati Aku yang pernah menggemparkan hingga ke Indonesia.

Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Encik Musa, gabungan ini adalah simbol semangat dua generasi muzik rock yang tidak pernah padam.
“Kristal X pernah lahir sebagai kugiran remaja yang menghasilkan lagu-lagu malar segar. Kini mereka tampil lebih matang dan ‘ganas’ di pentas. Ditambah pula dengan vokal Azlan yang berkuasa tinggi, Rockolusi Kuasa Dua bakal jadi malam penuh sejarah,” katanya.
Azlan yang bakal berkongsi pentas bersama Kristal X mengakui keterujaan untuk kembali ‘berlanggar’ dengan peminat selepas sekian lama.
“Saya membesar dengan karya Kristal X, jadi peluang ini amat istimewa. Ini bukan sekadar konsert, tetapi bukti kami masih ada dan masih hidup dalam jiwa peminat,” katanya.
Tiket konsert telah mula dijual sejak 23 September lalu di www.ilassotickets.com dengan harga bermula RM168, RM188, RM248, RM348 sehingga pakej Royal Box RM8,000 untuk 10 orang.
Rockolusi Kuasa Dua bukan sekadar persembahan, tetapi ‘pertembungan’ dua nama besar yang mengingatkan peminat bahawa muzik rock Malaysia masih relevan, masih lantang, dan masih mampu ‘melanggar’ arus semasa.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan sendiri Kristal X & Azlan The Typewriter melakar sejarah di Zepp Kuala Lumpur, 1 Februari 2026.




