Ikuti Kami:

Kristal, Keena Mentor & Ways Hangatkan GF GALAU Food Festival 2025

Kristal, Keena Mentor & Ways Hangatkan GF GALAU Food Festival 2025

Barisan artis popular seperti Kristal, Keena Mentor dan Ways bakal menghangatkan pentas utama GF GALAU Food Festival 2025 (GFF) yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 31 Disember ini di Setia Alam Convention Centre, Selangor.

Festival yang dianjurkan oleh Gold Field Holding Sdn. Bhd. itu dijangka menjadi antara acara terbesar hujung tahun dengan gabungan elemen makanan, hiburan dan gaya hidup yang mampu menarik kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran.

Menurut Enck Azlisham Yusof, Pengurus Acara Gold Field Holding Sdn. Bhd., GFF bertujuan mengangkat industri makanan tempatan serta memberi peluang kepada pengusaha kecil dan sederhana memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat menjelang sambutan tahun baharu.

“Kami mahu menjadikan GF GALAU Food Festival sebagai platform santai untuk masyarakat datang bersama keluarga dan rakan-rakan menikmati pelbagai sajian serta hiburan secara berhemah dan selamat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.


Enck Azlisham Yusof, Pengurus Acara Gold Field Holding Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai strategi menarik pengunjung, Azlisham berkata promosi festival kini giat dijalankan melalui media sosial seperti Facebook, YouTube dan TikTok rasmi GFF bagi memastikan capaian lebih meluas.

“Setia Alam kini menjadi hotspot setiap hujung minggu, jadi pemilihan lokasi ini sangat sesuai. Dalam masa yang sama, kami menggalakkan pengunjung untuk ‘like’, ‘komen’ dan ‘share’ di platform rasmi GFF sebagai sebahagian daripada kempen promosi menjelang festival,” katanya.

Festival yang akan berlangsung selama lima hari itu bakal dimeriahkan dengan persembahan artis setiap malam, termasuk Kristal, Keena Mentor, Ways, Exceed dan Arca Band.

Azlisham berkata, pemilihan artis dibuat berdasarkan tema nostalgia dan galau yang menjadi identiti festival kali ini.

“Kami mahu membawa semula nostalgia muzik lama yang dekat di hati peminat. Artis-artis ini masih mempunyai peminat tersendiri dan kami ingin memberikan mereka peluang untuk kembali menghiburkan masyarakat,” katanya.

Selain persembahan pentas, GFF turut menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa, aktiviti keluarga, dan pertunjukan bunga api sempena sambutan countdown tahun baharu 2026.

Penganjur juga menyediakan cabutan bertuah istimewa dengan hadiah menarik termasuk dua unit Scooter EV Bike, satu unit PlayStation 5 (PS5), penghawa dingin, televisyen 50 inci dan beberapa hamper bernilai tinggi.

Dalam masa sama, Azlisham menegaskan harga makanan di festival itu akan dikawal agar kekal berpatutan supaya semua pengunjung dapat menikmati pengalaman tanpa terbeban.

“Kami mahu pengunjung datang dengan keluarga tanpa risau soal harga. Kami pastikan vendor menawarkan harga yang sesuai dan berpatutan untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

GF GALAU Food Festival akan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 12 tengah malam, dengan malam penutup pada 31 Disember dijangka menjadi kemuncak sambutan tahun baharu di Lembah Klang.

“Harapan kami agar semua pengunjung berpuas hati dengan pengalaman yang ditawarkan, daripada makanan hingga persembahan artis. Maklum balas mereka amat penting bagi kami menambah baik penganjuran akan datang,” kata Azlisham.

Sesiapa yang berminat untuk membuka booth jualan atau jika terdapat sebarang pertanyaan boleh hubungi Sha di talian 0183256339.

Komen
Loading...