Krisiun Bawa Aura Death Metal Brazil Ke Pentas Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 17 Aug 2025 11:33 pm

Bentley Auditorium bergema dengan dentuman muzik ekstrem apabila band death metal legenda dari Brazil, Krisiun, mempamerkan persembahan bertenaga penuh kuasa dalam konsert sulung mereka di Malaysia yang dibawakan oleh Lime Wire Event dengan kerjasama LampuNeon Entertainment.
Acara bermula seawal jam 5.00 petang dengan pentas dipanaskan oleh dua band pembuka iaitu Dying Fate dan Tools of the Trade, yang masing-masing menyajikan rentak keras dan vokal garang, seakan memberi amaran awal bahawa malam tersebut bakal jadi sejarah buat peminat muzik ekstrem tanah air.
Tepat jam 8.00 malam, Krisiun mengambil alih pentas dengan lagu pembukaan “Kings”, sebelum disusuli deretan karya berat seperti Ravager, Endless, Sote dan Necromonical.
Jeritan vokal mendalam dan petikan gitar laju Alex Camargo bersama adik-beradik Kolesne membuktikan mengapa Krisiun kekal antara nama besar dalam arena death metal dunia.
“We came all the way from Brazil to bring you pure death metal destruction! Tonight, Malaysia, you are part of Krisiun’s history!” laung Alex Camargo, menghangatkan suasana sebelum menghentam lagu seterusnya.
Antara lagu yang menghangatkan pentas termasuk Messiah, Serpent Messiah, Blood of Lions, Bloodcraft, Hatred dan Descending semuanya disampaikan tanpa kompromi dengan sound yang padat, ketukan drum laju, dan riff gitar yang mendebarkan.
Penonton yang memenuhi ruang tidak berhenti mengangkat tangan, ber-mosh pit dan ber-headbang tanpa henti, menjadikan Bentley Auditorium seakan medan pertempuran muzik penuh tenaga.
Sorakan “Krisiun! Krisiun!” kedengaran di setiap sela persembahan, membuktikan sambutan luar biasa peminat metal tempatan.
Sebagai penutup, Krisiun menghadiahkan lagu “Combustion Inferno” sebagai encore, memacu adrenalin peminat ke tahap maksimum sebelum menamatkan malam dengan sorakan bergema.