Ikuti Kami:

Krisdayanti Kembali: Malam Cinta dan Nostalgia di Axiata Arena

Krisdayanti Kembali: Malam Cinta dan Nostalgia di Axiata Arena

Selepas lapan tahun, Krisdayanti akhirnya kembali ke pentas Malaysia menerusi Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti, sebuah persembahan yang bakal membawa peminat mengimbau kenangan indah bersama lagu-lagu malar segar penyanyi tersohor Indonesia ini.

Diva yang mesra disapa KD ini tetap menjadi idola di hati peminat Malaysia sejak lebih tiga dekad lalu, terutamanya selepas kejayaan lagu Menghitung Hari yang mencuri perhatian ramai.

Tahun ini, peminat berpeluang menyaksikan kelunakan vokalnya secara langsung dalam konsert yang bakal berlangsung pada 22 Jun 2025, jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert yang dibawakan oleh JBProduction ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi sebuah malam penuh magis dengan sentuhan nostalgia.

Lebih istimewa, konsert ini bakal menampilkan pengarah muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa, yang akan mengiringi persembahan KD dengan susunan muzik yang memukau.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani, pemilihan KD sebagai bintang utama konsert ini adalah kerana reputasi serta kredibilitinya yang kukuh dalam industri muzik serantau.

“Kami sangat berbangga mempersembahkan Krisdayanti kepada peminatnya di Malaysia. Konsert ini bakal menjadi satu pengalaman yang mengembalikan memori indah di antara KD dan peminatnya yang setia.”

Isa juga mengumumkan kejutan istimewa bagi peminat yang membeli tiket lebih awal.

“Bagi lima orang yang terawal membeli tiket pada 23 Februari 2025, kami akan memberi CD khas lagu Krisdayanti yang ditandatangani oleh KD sendiri,”

“Untuk malam konsert, pastikan semua hadir dengan tema cinta, kerana kami akan memilih peminat yang memakai pakaian bertema cinta yang paling memukau untuk menerima hadiah set barangan kemas sebagai ganjaran.” katanya.

Bagi Krisdayanti, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah perjalanan emosi yang menghubungkan dirinya dengan peminat yang telah menyokongnya sejak dahulu.

“Saya sangat bersyukur kerana masih diterima dengan penuh kasih sayang di Malaysia. Konsert ini adalah hadiah istimewa buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak dari awal kerjaya sehingga ke hari ini,” katanya.

KD juga berharap konsert ini akan menjadi satu pengalaman istimewa bukan sahaja kepada peminat di Malaysia, malah kepada rakyat Indonesia yang menetap di sini.

Dengan barisan lagu-lagu hits yang menjadi siulan ramai, malam tersebut bakal menjadi satu detik penuh makna buat semua yang hadir.

Penampilan KD di pentas akhir Gegar Vaganza 11 baru-baru ini turut membuktikan pesonanya masih utuh meskipun bakal memasuki usia 50 tahun pada Mac ini.

Harga tiket bermula RM228 hingga RM888 boleh didapati melalui UberTickets bermula 23 Februari. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh nostalgia ini!

Foto : Maestro Ridwan.

Komen
Loading...