Ikuti Kami:

Kris Dayanti Hadiahkan Malam Penuh Emosi di Konsert Cinta Nostalgia

Kris Dayanti Hadiahkan Malam Penuh Emosi di Konsert Cinta Nostalgia

Suasana malam minggu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertukar menjadi lautan emosi apabila Kris Dayanti menghadiahkan persembahan penuh makna menerusi Konsert Cinta Nostalgia yang mempertemukan semula diva tersohor Indonesia itu dengan peminat setianya di Malaysia.

Dihadapan lebih 2,400 penonton, Kris Dayanti membuka lembaran kenangan dengan barisan lagu-lagu yang pernah mewarnai zaman kegemilangan muzik pop nusantara.

Persembahan dibuka oleh Mimi Fly dengan lagu “Angkat”, sebelum pentas diserahkan kepada Kris Dayanti yang tampil dengan rangkaian lagu popular seperti Mahadaya Cinta, Cinta, Yang Kumau, Cobalah Untuk Setia, I’m Sorry Goodbye, Pilihlah Aku, Menghitung Hari, Doaku Harapanku, dan Learning From Love.

Antara detik paling menyentuh jiwa malam itu adalah apabila Kris secara spontan turun ke tempat duduk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, menyanyi lagu Sinaran sambil memegang tangan sahabatnya itu sebelum mengajaknya naik ke pentas untuk berduet.

Kehangatan terus memuncak apabila kedua-duanya menyampaikan lagu Cindai dan kemudian disertai Mimi Fly untuk lagu Jika Kau Tak Datang, memperlihatkan keindahan tiga vokal wanita hebat dalam satu momen yang sukar dilupakan.

Kris juga mempersembahkan lagu-lagu lain yang menyentuh kalbu seperti You Are The Reason, Timang-Timang, Bertubi-tubi, Cahaya, Dalam Kenangan, serta dua karya yang cukup dikenali dari layar perak, Ayat-Ayat Cinta 1 & 2.

Lagu Hati Ini Telah Dilukai, yang dinyanyikan secara duet bersama Khai Bahar, turut mendapat sorakan dan tepukan panjang daripada penonton.

Selepas lapan tahun tidak muncul dengan konsert solo di negara ini, penyanyi bersuara lantang itu membuktikan bahawa auranya tidak pernah pudar.

“Kali terakhir saya membuat konsert di Malaysia adalah lapan tahun yang lalu. Saya sangat rindu suasana pentas di sini. Setiap kali saya kembali, saya disambut dengan kasih sayang yang luar biasa. Malam ini adalah tentang kenangan, cinta dan penghargaan buat kalian semua,” kata Kris.

Menambahkan kemesraan, Kris tidak kekok mendekati penonton. Beberapa kali beliau turun dari pentas, menyanyi sambil memegang tangan peminat, menyapa dengan penuh kelembutan dan senyuman. Aksi spontan itu menjadikan konsert terasa peribadi, intim dan sangat emosional.

Segala keindahan malam itu diperkukuhkan dengan susunan muzik berskala besar dan berkualiti tinggi oleh maestro tersohor, Erwin Gutawa, yang memimpin orkestra dengan penuh dinamik dan rasa.

Sebuah malam yang akan kekal dalam ingatan, bukan sahaja kerana suara emasnya, tetapi kerana keikhlasan yang terpancar dalam setiap nota dan kata.

Komen
Loading...