Kotak Raikan 21 Tahun Bersama Arda Hatna di Zepp KL, 21 September Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 Aug 2025 3:51 pm

Kumpulan rock terkenal Indonesia, Kotak, bakal meraikan ulang tahun ke-21 mereka dalam industri muzik dengan sebuah konsert istimewa yang menggabungkan cinta, muzik dan kenangan Road To 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September ini.
Lebih istimewa, konsert kali ini turut menyaksikan kolaborasi bersama penyanyi tersohor Arda Hatna, yang juga merupakan suami kepada vokalis utama Kotak Tantri Syalindri Ichlasari.
Persembahan ini dijangka menjadi salah satu momen paling beremosi dan peribadi dalam sejarah perjalanan muzik Kotak.
Dianjurkan oleh Boomset Planning dan dibawakan khas oleh platform hiburan GemaWave, konsert ini menjanjikan pengalaman yang lebih daripada sekadar persembahan muzik biasa.
Ia adalah sebuah penghormatan terhadap dua dekad ketekunan dan pencapaian Kotak yang masih kekal relevan sehingga hari ini.
Tantri yang kini menjadi tonggak utama Kotak bersama Swasti Sabdastantri (Chua) dan Mario Marcella (Cella), meluahkan rasa teruja untuk kembali membuat persembahan di Kuala Lumpur selepas sekian lama tidak bertemu peminat Malaysia.
“Ini bukan sekadar konsert, ia adalah penghargaan buat peminat yang setia bersama kami sejak 2004. Lebih bermakna, saya akan berada di pentas yang sama dengan suami tercinta, Arda Hatna,” ujarnya.
Arda, yang juga vokalis kumpulan Naff, cukup dikenali menerusi lagu-lagu hit seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku dan Akhirnya Ku Menemukanmu.
Kehadirannya di konsert ini bakal menambah dimensi istimewa apatah lagi dengan pembawaan karya solonya seperti Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir.
Menurut Syira Yusof dari Boomset Planning, pemilihan KOTAK sebagai artis pembuka platform GemaWave dibuat kerana kekuatan jenama serta semangat mereka yang konsisten selama lebih dua dekad.
“Kami tidak mahu sekadar menampilkan sebuah persembahan ‘biasa’. Dengan kolaborasi Kotak dan Arda Hatna, konsert ini akan jadi sesuatu yang luar biasa, penuh emosi dan bermakna untuk peminat.” katanya.
Tiket mula dijual menerusi www.ticket2u.com.my dengan harga RM198 (Standing), RM218 (Gold), RM248 (Platinum) dan RM3,888 (Box).
Buat semua Kerabat Kotak, tandakan kalendar anda pada 21 September 2025. Jangan lepaskan peluang menjadi saksi kepada perjalanan penuh warna, semangat dan cinta dalam Road To 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur.