Kotak Bunga Api Terbakar di Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza x Judika di Stadium Merdeka
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Suasana gilang-gemilang di konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Merdeka malam tadi dikejutkan dengan kejadian kotak bunga api yang diletakkan di atas perancah (scaffolding) di belakang skrin latar terbakar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, kejadian itu dilaporkan pada jam 11.29 malam oleh anggota keselamatan yang sudah bersiap sedia di lokasi konsert.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Mokhtar Ramli, memaklumkan pasukan operasi segera dikerahkan ke lokasi, melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera sebagai tindakan pantas menangani kecemasan.
“Anggota operasi berjaya memadamkan api menggunakan alat pemadam api sehingga kebakaran dapat dikawal sepenuhnya,” kata Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut, dan keadaan di lokasi kembali terkawal dalam tempoh yang singkat.
Malam tadi, Stadium Merdeka dibanjiri kira-kira 24,000 penonton yang hadir menyaksikan persembahan luar biasa daripada Siti Nurhaliza dan Judika.
Dalam konsert penuh magis ini, kedua-dua artis hebat tersebut mempersembahkan lebih 30 lagu, termasuk segmen medley yang mengundang sorakan gemuruh daripada peminat.
Walaupun insiden kebakaran kecil itu berlaku, konsert tetap berlangsung dengan jayanya hingga ke penghujung, meninggalkan kenangan indah buat para penonton.