Ikuti Kami:

‘Kota Ini Tak Sama Tanpamu’ – Kolaborasi Nadhif, Aisha Retno & Aziz Harun

‘Kota Ini Tak Sama Tanpamu’ – Kolaborasi Nadhif, Aisha Retno & Aziz Harun

Industri muzik Asia Tenggara terus menyaksikan perkembangan menarik apabila tiga bintang muda serantau, Nadhif Basalamah dari Indonesia, Aisha Retno dari Malaysia dan Aziz Harun dari Brunei, bersatu dalam single terbaharu berjudul Kota Ini Tak Sama Tanpamu.

Lagu yang dicipta bersama pada tahun 2024 itu mengetengahkan mesej bahawa sebuah kota bukan sekadar lokasi, tetapi cerminan kepada hubungan dan kenangan yang terjalin bersama insan tersayang.

Proses kreatifnya bermula secara tidak dirancang ketika kunjungan singkat Nadhif ke Kuala Lumpur sempena Aidiladha tahun lalu.

Pertemuan santai bersama Aisha Retno dan Aziz Harun di studio Faithful Music menghasilkan idea awal penulisan lagu sebelum ia dikembangkan di Bali bersama penerbit terkenal Indonesia, Petra Sihombing.

Petra, yang pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Raisa, Isyana Sarasvati dan Bernadya, menyempurnakan rakaman akhir dengan sentuhan moden serta penuh emosi.

Aisha Retno menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Nadhif Basalamah dan Aziz Harun dalam penghasilan Kota Ini Tak Sama Tanpamu seperti pertemuan sahabat lama walaupun ia merupakan kali pertama mereka bertiga berkolaborasi.

“Bekerja dengan Nadhif dan Aziz memang rasa macam pertemuan kawan lama walaupun ini kali pertama kami bertiga berkolaborasi. Lirik lagu ini ada rasa manis dan sedikit ‘cheeky’ bila seseorang cuba memujuk untuk sambung cuti di kota itu. Saya rasa semua orang pernah lalui perasaan itu, bila kita jatuh cinta dan tidak mahu masa itu berakhir,” katanya.

Aisha turut menambah bahawa gabungan lirik menyentuh hati, harmoni vokal yang lembut serta sentuhan produksi pop kontemporari menjadikan lagu ini dekat di hati pendengar.

“Kota Ini Tak Sama Tanpamu benar-benar menangkap rasa rindu yang membuatkan sebuah kota terasa berbeza tanpa insan istimewa di sisi,” jelasnya.

Aziz Harun mengakui lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana mengingatkannya kepada kenangan manis ketika berada di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan rapat.

“Secara peribadi, lagu ini buat saya teringat semua kenangan indah bersama kawan-kawan rapat di KL, saat kita tak mahu hari tersebut berakhir. Sebagai seseorang yang baru tinggal di sini, saya sedar KL mempunyai pesona yang sangat istimewa,” katanya.

Menurut Aziz lagi, idea penulisan lagu yang dibawa oleh Nadhif cukup dekat dengan dirinya.

“Bila Nadhif datang dengan idea menulis tentang KL untuk pasangannya (kini tunang), saya rasa saya faham betul apa yang dia maksudkan. Proses rakaman di Ubud, Bali dengan Petra juga sangat menyenangkan,” jelasnya.

Menyentuh pengalaman di studio, Aziz tidak dapat melupakan kreativiti spontan penerbit terkenal Indonesia itu.

“Satu pengalaman yang saya tak lupa adalah ketika saya, Nadhif dan Aisha keluar rehat sekejap dan bila kami masuk semula ke studio Petra sudah siap hampir semua gubahan muzik termasuk solo gitar!” ujarnya.

Nadhif Basalamah menyifatkan tercetusnya Kota Ini Tak Sama Tanpamu sebagai sesuatu yang lahir secara semula jadi tanpa dirancang.

“Lagu ini bermula dengan sangat santai dan natural. Waktu itu saya cuma mahu menghabiskan masa di KL sambil menulis lagu bersama kawan baru. Tak sangka idea kecil di studio itu berkembang menjadi sebuah lagu yang kini menghubungkan tiga negara,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana dapat bekerjasama dengan dua rakan seindustri yang mampu memberi jiwa pada karya tersebut.

“Saya sangat bersyukur kerana Aisha dan Aziz dapat membawa emosi dan warna mereka sendiri ke dalam lagu ini,” ujarnya.

Mengangkat tema rindu dan keterikatan, karya ini menggambarkan bagaimana suasana sebuah kota mampu berubah mengikut siapa yang berada di sisi kita.

Dengan gabungan vokal harmoni, lirik yang menyentuh hati dan produksi yang segar, Kota Ini Tak Sama Tanpamu hadir sebagai satu kolaborasi bersejarah yang bukan sahaja menyatukan tiga negara, malah diyakini mampu mencuri perhatian peminat muzik serantau.

Single ini kini boleh didengarkan di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer serta semua platform penstriman digital utama.

Komen
Loading...