Ikuti Kami:

“Korban Rindu” Bukti Bakat Putera Bobo, Remaja 14 Tahun Tawan Hati Pendengar

“Korban Rindu” Bukti Bakat Putera Bobo, Remaja 14 Tahun Tawan Hati Pendengar

Lagu sulung bertajuk “Korban Rindu” menjadi titik tolak kepada perjalanan seni seorang remaja berusia 14 tahun yang kini mencuri perhatian ramai – Putera Bobo.

Dalam tempoh hanya 24 jam selepas dilancarkan, lagu tersebut berjaya menembusi senarai Top 20 Trending di YouTube, sekali gus membuktikan bakat luar biasa penyanyi muda ini.

Putera Bobo, atau nama sebenarnya Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, mula mencuri perhatian apabila video nyanyiannya mendendangkan lagu “Korban Perceraian” sambil memakai maskot beruang tular di TikTok, dengan meraih lebih 5 juta tontonan.

Persembahan beremosinya yang dirakam di Uptown Jerteh, Terengganu bukan sahaja menarik perhatian netizen, malah turut menyentuh hati pengasas produk kosmetik Rosel Whitening, Azian Zaid Khan atau Kak Long.

“Kak Long hadir bersama suami, Ayah Zack Janggut, dan terus jatuh hati dengan bakat Putera. Matyie Gsr yang memperkenalkan kami, dan saya percaya dia boleh pergi jauh jika diberi peluang,” kata Kak Long.

Berbekalkan keyakinan tersebut, dan dengan kerjasama Molek FM, Putera Bobo diberi peluang merakamkan single pertamanya di bawah label Nova Music. Rakaman dilakukan pada 21 Jun lalu di NAR Record, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, dengan bimbingan komposer berpengalaman, Eddie Hamid.

Menurut Eddie, kejujuran dan penghayatan Putera dalam nyanyian merupakan aset utama yang menjadikan lagu “Korban Rindu” menyentuh hati ramai pendengar.

“Putera ada aura semula jadi. Dia bukan sekadar nyanyi ikut lagu, tapi dia hayati setiap bait lirik. Lagu ini memang saya cipta khas untuk menonjolkan kekuatan vokalnya,” jelas Eddie yang turut bekerjasama dengan penulis lirik Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.

Di sebalik bakatnya yang luar biasa, sokongan keluarga menjadi tunjang kekuatan Putera. Ibunya, Elyani, meluahkan rasa syukur kerana anak ketiganya daripada lima beradik itu menerima perhatian serta bimbingan yang ikhlas.

“Bakat menyanyi dalam keluarga ini bukan baharu. Abah dia, Mohd Nasran, aktif dalam kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda dan Putera memang ikut sejak kecil. Dia minat lagu-lagu beremosi, dari dulu suka nyanyi lagu Lesti Kejora. Semua adik-beradik dia pun boleh menyanyi,” ujar Elyani.

Putera juga aktif menyanyi bersama Yuni Band dari Kampung Beris Baru, Kuala Besut dan pernah menyertai program realiti The Chosen One musim kedua.

Kini, dengan pelancaran rasmi “Korban Rindu”, perjalanan seninya disusun lebih kemas.

Lagu yang mengangkat tema kerinduan dan pengorbanan itu kini boleh didengari di semua platform digital. Video muziknya pula telah dimuat naik ke saluran YouTube Nova Music Videos, dan terus meraih tontonan tinggi sejak dimuat naik.

Dengan sambutan luar biasa yang diterima, “Korban Rindu” bukan sekadar lagu sulung bagi Putera Bobo, tetapi juga bukti bahawa suara muda ini punya potensi besar untuk terus bersinar di pentas seni tanah air.

Komen
Loading...