Koperasi Polis Diberi Peranan Baharu Laksana Projek Pembangunan KDN
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Koperasi Polis Malaysia kini diberi peranan baharu yang lebih strategik apabila diumumkan sebagai antara pihak yang akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek-projek utama Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Langkah ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan dan potensi koperasi dalam membantu agenda pembangunan negara, khususnya dalam sektor keselamatan.
Pengumuman penting itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Perdana Menteri dalam satu majlis khas hari ini, menandakan kerjasama rasmi antara KDN dan koperasi polis.
Menurut Saifuddin, antara fokus utama pelaksanaan projek melibatkan koperasi ialah pembangunan infrastruktur pasukan polis termasuk penambahan dan pembaikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.
“Jadi yang berkaitan dengan pembangunan yang menjadi keutamaan kita termasuklah meningkatkan atau menambah bilangan IPK dan IPD. IPK yang lama dan tidak mampu lagi menyokong operasi berkaitan negeri akan diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa projek yang kini dalam perancangan seperti IPK Kelantan, Perak dan Pulau Pinang, selain pembinaan IPD baharu termasuk IPD Ruang Semalu, Kapit dan Padang Besar.
Menurut beliau, pembabitan koperasi dalam projek pembangunan ini hanya akan dipertimbangkan sekiranya menunjukkan prestasi pengurusan yang baik, kompetensi tinggi serta mematuhi amalan tadbir urus dan harga yang munasabah.
“Pengumuman dasar oleh Perdana Menteri adalah jelas – asal saja operasi menunjukkan prestasi pengurusan yang bagus, kompeten, mengikut amalan tadbir urus yang baik dan dilaksanakan dengan cekap pada harga yang munasabah, maka kita bersedia untuk mempertimbangkan pelaksanaannya oleh koperasi polis,” ujar Saifuddin.
Beliau turut mengingatkan bahawa peluang yang diberikan bukan bermakna laluan mudah tanpa penilaian. Semua projek tetap perlu melalui proses dan syarat kewangan yang ketat.
“Bukan maksudnya kita buka jalan dan terus panggil kepada kita, tidak. Ia tidak boleh mengetepikan semua perasyarat lain. Jadi, koperasi mesti membuat persiapan yang rapi dan menyeluruh,” katanya.
Saifuddin juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai memahami sejarah dan kekuatan koperasi polis, malah pernah mengurus hal ehwal koperasi semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.
“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menunjukkan keyakinan yang kuat kepada koperasi. Keyakinan ini lahir kerana beliau tahu sejarah dan kekuatan koperasi polis,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyusun senarai projek bersesuaian yang boleh dilaksanakan oleh koperasi.
Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 anggota koperasi polis, selain memperkukuhkan sistem keselamatan negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih moden dan efisien.
Inisiatif ini juga seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan koperasi sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi dan sosial negara.