Ikuti Kami:

KOPERAB-NUSA KAPITAL Meterai MoU Perluas Akses Pembiayaan Koperasi

KOPERAB-NUSA KAPITAL Meterai MoU Perluas Akses Pembiayaan Koperasi

Dari kiri: YBhg Datuk Wira M. Faizal Zainol, Setiausaha KOPERAB; YBhg Dato’ Sri Syed Ismail, Pengerusi KOPERAB; Datuk Wira Hj Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara; YBhg Tuan Izmi Marican, Pengasas NUSA KAPITAL; dan Encik Kee Yong Foo, Pengasas Bersama NUSA KAPITAL.

Koperasi Aman Berhad (KOPERAB) dan Nusa Kapital Sdn Bhd (NUSA KAPITAL) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas akses pembiayaan alternatif kepada koperasi di seluruh Malaysia.

Majlis menandatangani tersebut berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah, dif-dif kehormat serta wakil media.

MoU tersebut dimeterai oleh Pengerusi KOPERAB, YBhg Dato’ Sri Syed Ismail Syed Azizan bersama Pengasas NUSA KAPITAL, YBhg Tuan Izmi Marican, dengan disaksikan oleh YBhg Datuk Wira Hj Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara.

Melalui kerjasama ini, KOPERAB akan memanfaatkan platform pembiayaan rakan setara (P2P) milik NUSA KAPITAL untuk menyediakan pembiayaan yang lebih fleksibel dan telus kepada koperasi, sekali gus memberi pilihan alternatif selain perbankan tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ahli Lembaga KOPERAB, YBhg Haji Mohd Marzuki Yasoa berkata, koperasi di Malaysia mempunyai lebih 16,000 entiti berdaftar dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang, yang menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada koperasi untuk melabur melalui Nusa Kapital. Kita sasarkan nilai pelaburan sebanyak RM100 juta dalam tempoh setahun. Pulangan dividen juga akan diagihkan secara kompetitif kepada anggota, seiring dengan kewajipan koperasi membayar dividen tahunan,” katanya.

Beliau menambah, kelebihan koperasi ialah pendekatan lebih dekat dengan ahli berbanding institusi kewangan biasa.

“Kalau bank hanya melihat angka dan menyerahkan urusan kepada pelanggan, koperasi pula akan memantau prestasi usahawan secara berterusan. Kita mahu pastikan mereka bukan sekadar dapat modal, tetapi menjadi usahawan berjaya yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat,” jelasnya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NUSA KAPITAL, YBhg Tuan Izmi Marican, pula berkongsi bahawa sejak 2017 pihaknya telah mengendalikan lebih RM200 juta pembiayaan kepada pelbagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pulangan kepada pelabur setakat ini berada antara 6 hingga 18 peratus setahun, dengan kadar gagal bayar sifar sejak penubuhan. Kami capai prestasi ini kerana kami bukan hanya bergantung kepada algoritma, tetapi turut memahami latar belakang dan keperluan sebenar perniagaan,” katanya.

Beliau turut menekankan fleksibiliti produk pembiayaan yang ditawarkan NUSA KAPITAL.

“Kami menyediakan pelbagai instrumen seperti pembiayaan invois, modal kerja dan pembiayaan inventori. Malah, permintaan biasanya melonjak menjelang Ramadan apabila peniaga memerlukan modal tambahan untuk menampung stok

“Inilah kelebihan platform P2P kami boleh menyesuaikan pembiayaan mengikut keperluan sebenar,” ujarnya.

Izmi menambah, model NUSA KAPITAL memberi peluang pelaburan baharu kepada koperasi, bukan sahaja dengan pulangan kewangan yang menarik tetapi juga memberi impak sosial.

“Kami percaya konsep jariah ini penting pelaburan koperasi bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi juga menyokong kelangsungan usahawan kecil dan sederhana supaya mereka terus bertahan, berkembang, dan menjadi pelanggan setia pada masa hadapan,” katanya.

Majlis berkenaan turut diakhiri dengan sesi rangkaian perniagaan, membincangkan peluang pelaburan koperasi dalam platform P2P bagi memenuhi keperluan modal jangka pendek dan panjang.

Untuk maklumat lanjut layari nusakapital.com

Komen
Loading...