Konvokesyen & Forum ISI 2025: Pendidikan Strategik Pacu Industri Masa Hadapan
- oleh Mohd Indera
- 7 Sep 2025 9:46 pm

International Strategic Institute ( ISI ), institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf Kementerian Dalam Negeri, melakar sejarah apabila menganjurkan Konvokesyen & Forum 2025 bertemakan “Memperkasa Industri, Mengubah Masa Hadapan Melalui Pendidikan” di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya.
Acara ini bukan sekadar meraikan graduasi pelajar tetapi turut menjadi pentas strategik menghimpunkan pemimpin perniagaan, pakar industri dan tenaga pengajar untuk membincangkan isu-isu penting seperti Ekonomi Digital, Pengembangan Global serta Pembangunan Bakat.
ISI merupakan sebuah kolej yang mempunyai misi untuk membantu pembangunan kolaboratif strategik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mewujudkan hubungan sinergi antara PKS dengan agensi kerajaan serta menganjurkan pelbagai kursus dan program pendidikan strategik dalam memupuk profesionalisme ke arah pertumbuhan dan daya saing PKS.
Presiden dan pengasas ISI, Dr Gavin Voon Shih Chin, dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa pendidikan tidak hanya menyampaikan ilmu tetapi menjadi pemangkin transformasi industri.
“Pendidikan adalah misi untuk membentuk kepimpinan, mengubah pemikiran serta mencorakkan masa hadapan. Hari ini adalah permulaan baharu buat graduan ISI untuk terus menginovasi, memberi inspirasi dan mempengaruhi masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa ISI akan terus memperluas rangkaian kerjasama dengan rakan strategik di dalam dan luar negara.
“Kejayaan graduan kita hari ini membuktikan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan strategi mampu melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berdaya saing di dalam negara malah berpotensi besar di peringkat global. ISI komited memastikan lebih ramai usahawan dan profesional tempatan bersedia mendepani cabaran ekonomi digital dan geopolitik dunia,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, program kali ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara ISI dengan rakan industri tempatan dan antarabangsa.
MoU tersebut merangkumi aspek pembangunan bakat, pemindahan teknologi serta kolaborasi penyelidikan strategik, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan ISI sebagai hab pendidikan strategik serantau.
Pada majlis tersebut, turut diumumkan pelancaran ASEAN Investor Award 2025, iaitu sebuah inisiatif yang mengiktiraf wakil dari 16 negara termasuk 11 negara ASEAN.
Naib Presiden ISI, Dr. (H.C) Johny Yap Weng Onn menegaskan bahawa ia amat penting kerana berlangsung seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Anugerah ini memberi peluang pemilik perniagaan memperluas operasi mereka ke luar negara dengan sokongan rakan strategik. Ia membuktikan bahawa pendidikan strategik mampu menjadi jambatan kepada peluang global,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa platform ini bakal menjadi pintu masuk kepada lebih banyak pelaburan asing.
“Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai hab strategik ASEAN. Melalui anugerah ini, kita bukan sahaja melahirkan tokoh usahawan yang berwawasan malah memperkukuh imej negara di mata dunia. Kami yakin ISI boleh menjadi jambatan antara sektor swasta dan kerajaan dalam menarik pelaburan berimpak tinggi,” tambahnya.
Ketua Jurulatih Strategik, YC Lim, yang juga graduan menjelaskan forum anjuran ISI telah membuka ruang kepada mereka untuk memperoleh latihan, akses kepada dana pinjaman serta khidmat konsultasi yang mampu meningkatkan keupayaan dan daya saing perniagaan yang masih bergantung kepada kaedah tradisional.
“Forum ISI membuka mata kami tentang cara baharu mengembangkan bisnes. Dalam industri FinTech misalnya, pendidikan amat penting untuk membezakan amalan kewangan yang sah dan yang meragukan,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa latihan strategik yang diberikan bukan hanya membantu usahawan memahami cara membina model bisnes lebih mampan tetapi juga memberi kesedaran bahawa inovasi harus digabungkan dengan tanggungjawab sosial.
“Saya melihat ramai peserta berubah daripada hanya fokus keuntungan semata-mata kepada membina perniagaan yang memberi manfaat kepada komuniti. Inilah kekuatan pendidikan. Ia membentuk pemikiran yang lebih luas, bukan sekadar untuk bertahan tetapi juga untuk memberi impak positif,” katanya lagi.
Selain itu, forum ini turut menampilkan sesi dialog interaktif yang memberi ruang kepada peserta untuk bertanya terus kepada panel pakar.
Antara topik yang mendapat perhatian adalah isu pelaburan rentas sempadan, pembiayaan digital serta strategi memperkukuh daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).