Konsert XPDC Metalkestra 2025 Penuh Kejutan, Dua Generasi Penyanyi Bersatu
- oleh MDaily Editor
- 9 Nov 2025 3:31 am
Konsert XPDC Metalkestra 2025 yang berlangsung malam Sabtu lalu di Zepp Kuala Lumpur menyajikan pengalaman penuh kejutan apabila dua generasi penyanyi XPDC bersatu di atas satu pentas.
Bertemakan Samurai, XPDC muncul dengan pakaian lengkap bertopi dan berjubah untuk membawakan lagu pembukaan Dunia 4 Segi dan King El Mondoq, menonjolkan konsep persembahan yang unik.
Sepanjang persembahan, XPDC tampil bertenaga membawakan deretan lagu popular seperti Samurai, Berdesup Cahaya, Senapang Patah, Haprak dan Tanggis Darah, lengkap dengan iringan muzik string dan keyboard yang memperindah susunan persembahan mereka.

Vokalis XPDC, Mamu, dalam ucapannya meluahkan rasa syukur atas kejayaan konsert bersejarah ini.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang menjayakan konsert ini. Ini adalah konsert pertama XPDC yang berskala besar. Insya-Allah akan ada konsert akan datang jika anda terus menyokong XPDC,” katanya.
Kejutan muncul apabila penyanyi REAL XPDC, Abang Gad, muncul untuk menyampaikan lagu Abadi Tragedi, Aku & Sesuatu dan Nafisa, khusus sebagai penghormatan kepada arwah Mael XPDC dan pengasas XPDC, JS Kevin.

Penampilan dan gaya Abang Gad mengimbas kembali aura arwah Mael, menambah kesan emosi segmen tribute tersebut.
Detik paling dinanti dalam konsert itu pastinya apabila bekas vokalis XPDC, Ali Ismail (Ali XPDC), muncul di penghujung persembahan untuk membawakan lagu ikonik “Hentian Ini” dan “Titian Perjalanan” bersama vokalis semasa, Mamu.
Kemunculan istimewa itu bukan sahaja mengimbau nostalgia era kegemilangan XPDC, malah menjadi simbol penyatuan dua generasi dalam legasi muzik rock tanah air.

Sorakan gemuruh dan tepukan tidak henti-henti daripada ribuan penonton bergema menyambut kepulangan Ali yang pernah menjadi suara utama dalam banyak lagu malar segar kumpulan itu.
Ali, yang kini berdepan masalah kesihatan, turut menyatakan sokongan kepada rakan seperjuangan serta peminat setia.
“Saya akan sentiasa menyokong perjuangan XPDC dan muzik tanah air,” katanya.
Konsert lebih dua jam itu menampilkan 20 lagu termasuk Raja Kertas, Tak Nak Jadi Sochai, Talam Dua Muka, Nyanyuk, Kita Peng Yu, Selendang Merdeka, C.I.N.T.A, Semangat Yang Hilang, dan diakhiri dengan lagu For Whom The Bells Toll oleh Metallica.

Anjuran RMR Events Asia, konsert ini menyaksikan XPDC yang kini dianggotai Mamu (vokal), Lola (dram), Eddy (bass), Arif (gitar) dan Izo (gitar utama), bersama pemain string dan keyboard, tampil berbeza mengikut tema Metalkestra, membuktikan kemampuan mereka menggabungkan muzik rock dengan elemen orkestra secara padu.




